Rawatan apakah yang boleh diguna untuk mencegah dan merawat ostitis alveolar (soket kering)?

Mesej utama

- Berkumur dengan ubat kumur chlorhexidine sebelum cabutan gigi atau bermula 24 jam selepas cabutan boleh membantu mencegah soket kering.
- Meletak gel klorheksidin terus ke dalam soket sejurus selepas cabutan gigi boleh membantu mencegah soket kering.
- Ubat kumur klorheksidin menyebabkan beberapa kesan buruk (tidak diingini) kecil; gel intrasoket klorheksidin tidak menyebabkan kesan buruk.
- Alvogyl mengurangkan kesakitan soket kering apabila dibanding dengan zink oksida eugenol, tetapi bukti untuknya sangat tidak pasti.
- Laser tidak menimbulkan kesan yang tidak diingini.
- Kami perlukan kajian masa depan untuk mengukuhkan bukti dan menyiasat cara terbaik untuk mencegah dan merawat soket kering pada semua gigi.

Apakah soket kering?

Soket kering adalah satu keadaan yang sakit, ia kadangkala terjadi selepas gigi dicabut dan lebih cenderung berlaku selepas cabutan gigi geraham bongsu rahang bawah.

Apa yang menyebabkan soket kering?

Ia berkait dengan kehilangan sebahagian atau semua klot darah yang terbentuk di dasar soket selepas gigi dicabut.

Bagaimanakah soket kering boleh dicegah?

Satu opsyen untuk mencegah soket kering adalah mengurangkan puing dan beban bakteria di dalam mulut, walaupun soket kering bukan berpunca dari bakteria. Orang dengan kebersihan oral yang teruk (puing makanan dan plak) lebih berisiko untuk soket kering. Pembaikan kebersihan oral dan berkumur sebelum cabutan gigi atau bermula 24 jam selepas cabutan boleh mengurangkan kemungkinan soket kering.

Bagaimanakah soket kering boleh dirawat?

Pilihan untuk merawat soket kering sebahagian besarnya memfokus pengurangan sakit setempat di sekitar soket gigi dengan meletakkan obtunden (dresing berubat yang melegakan).

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika ubat kumur antiseptik, gel atau tampalan penyembuhan membantu mencegah soket kering. Kami juga ingin tahu jika meletakkan dresing berubat boleh merawat soket kering dan sama ada sebarang kesan sampingan yang tidak diingini terhasil.

Apakah yang lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membanding kumuran antiseptik atau gel intrasoket dengan plasebo (dami) atau tiada gel intrasoket dengan plasebo (dami) atau tiada apa-apa.

Untuk mencari cara terbaik merawat soket kering, kami mencari kajian-kajian yang membandingkan agen pelega yang berbeza dengan plasebo (dami) dengan agen pelega lain atau tanpa apa-apa.

Kami membandingkan keputusan-keputusan kajian dan merumuskan dapatan. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan reka bentuk kajian dan bilangan pesakit yang direkrut.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti 49 kajian; 39 kajian (6219 peserta) menyiasat pencegahan soket kering dan 10 kajian (552 peserta) menyiasat rawatan soket kering.

Kami mendapati:

- berkumur sebelum dan selepas cabutan gigi (bermula 24 jam selepas cabutan) dan berkumur dengan klorheksidin glukonat (kekuatan 0.12% dan 0.2%) mungkin mengurangkan soket kering;
Meletakkan gel klorheksidin (0.2%) ke dalam soket gigi juga mengurangkan risiko soket kering.
- kumuran dan gel klorheksidin adalah sama berkesan mengurangkan soket kering, tetapi bukti untuk perbandingan ini sangat tidak pasti;
- kumuran klorheksidin menghasilkan beberapa kesan kecil yang tidak diingini; gel intrasoket klorheksidin tidak menghasilkan kesan yang tidak diingini;
- terdapat sedikit bukti kepastian sangat rendah daripada dua kajian Alvogyl (formulasi lama) boleh mengurangkan sakit pada hari ke-7 dalam kalangan pesakit dengan soket kering berbanding zink oksida eugenol. Bukti ini berkait dengan formulasi lama Alvogyl yang tidak lagi tersedia. Perlu diingat formulasi Alvogyl telah berubah, ia kini dipanggil Alveogyl.

Cabutan gigi secara amnya dibuat oleh doktor gigi untuk pelbagai sebab, walau bagaimanapun, kesemua kecuali lima kajian yang disertakan dalam ulasan ini memasukkan peserta yang menjalani cabutan molar ketiga, yang kebanyakannya dibuat oleh pakar bedah mulut.

Apakah batasan bukti?

Batasan utama bukti adalah kajian-kajian:

- kebanyakannya melapor tentang cabutan gigi yang melibatkan gigi bongsu bawah;
- dijalankan dengan cara yang menimbulkan ralat dalam pelaksanaan kajian dan membawa kepada ralat dalam keputusan; dan
- menghasilkan keputusan yang tidak tepat apabila digabung.

Akibat ralat ini, kami sedikit keyakinan terhadap keputusan yang berkait dengan kumuran gel klorheksidin tetapi penyelidikan lanjut mungkin memberi impak penting terhadap keyakinan kami dalam menganggar kesan dan mungkin mengubah anggaran.

Adakah bukti ini mutakhir?

Carian untuk kajian-kajian sedia ada selesai pada 28 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Maaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information