Penggunaan benzodiazepinbagi merawat katatonia di kalangan penghidap skizofrenia atau penyakit-penyakit mental serius yang serupa

Soalan ulasan
Adakah kumpulan ubat-ubatan yang dipanggil benzodiazepin berkesan dan boleh diterima sebagai rawatan bagi katatonia di kalangan penghidap skizofrenia atau penyakit mental serius yang lain?

Latar belakang
Katatonia adalah keadaan yang melumpuhkan penghidapnya, ciri-cirinya adalah tiada pergerakan, ataupun pergerakan yang berlebihan dan pelik, serta tiada interaksi dengan persekitaran sosial dan fizikal. Ia boleh berlaku apabila seseorang mempunyai beberapa keadaan psikiatri seperti, skizofrenia (penyakit mental yang berkekalan yang mana persepsi terhadap realiti berubah); dan kadang kala dengan beberapa keadaan perubatan. Beberapa keadaan gangguan mental serius yang lain boleh dikaitkan dengan katatonia termasuklah gangguan bipolar (keadaan di mana terdapat perubahan mood /emosi yang ekstrim antara sangat gembira dan sanagt sedih) dan juga kemurungan (juga gangguan mood/emosi di mana penghidap mempunyai mood yang sangat rendah). Benzodiazepin digunakan sebagai rawatan untuk katatonia secara meluas walaupun tiada bukti yang berkualiti daripada ujian percubaan rawak terkawal terhadap keberkesanannya.

Carian bukti
Pakar maklumat daripada Skizofrenia Cochrane telah menjalankan carian elektronik dalam daftar yang khusus (terkini pada Februari 2019) bagi kajian yang telah mengkaji secara rawak, katatonia yang terjadi di dalam skizofrenia ataupun masalah mental serius yang lain untuk menerima sama ada benzodiazepin, ataupun apa-apa rawatan yang lain: ubat-ubatan yang lain, plasebo ataupun terapi elektrokonvulsif. Sebanyak seratus tiga puluh rekod telah ditemui dan diperiksa oleh pengarang ulasan.

Bukti yang ditemui
Satu ujian telah ditemui dalam carian yang memenuhi kehendak ulasan ini, walaupun begitu ianya mengandungi data dan hasil kajian yang terhad dan berkualiti rendah. Ujian ini telah membandingkan dua jenis benzodiazepin (lorazepam vs oxazepam) dan mendapati tiada perbezaan yang ketara di antara kedua-dua rawatan ini untuk membaikpulih gejala-gejala katatonia bagi penghidap katatonia di kalangan pesakit skizofrenia ataupun penyakit mental serius yang serupa.

Kesimpulan
Tiada bukti berkualiti tinggi yang boleh didapati bagi menjawab persoalan ulasan ini. Lebih banyak penyelidikan yang berkualiti tinggi diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan Syameer Firdaus (Monash University Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi msmoh50@mikotosyameer.com

Tools
Information