Vaksin varicella dan influenza mungkin mengurangkan morbiditi dalam kalangan pesakit dengan kanser darah

Jangkitan virus menyebabkan penyakit yang serius dan juga kematian dalam kalangan pesakit dengan kanser darah. Dalam ulasan sistematik kajian rawak terkawal (RCT) ini kami berhasrat untuk menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin virus dalam kalangan pesakit-pesakit tersebut. Hasil utama yang ditetapkan adalah insidens jangkitan berkenaan. Hasil sekundar adalah kematian yang disebabkan oleh jangkitan virus, kematian semua-sebab, insidens komplikasi, insidens jangkitan virus yang teruk, kadar kemasukan ke hospital, respon imun in vitro, dan kekerapan kesan buruk. Lapan RCT telah disertakan. Kajian-kajian tersebut menilai vaksin virus varicella zoster tak teraktif-haba (VZV) (dua kajian), vaksin influenza (lima kajian) dan vaksin poliovirus tak teraktif (satu kajian). Tiada RCT untuk vaksin virus lain (hepatitis A, hepatitis B, campak, beguk, rubella). Hanya dua kajian vaksin VZV melaporkan hasil utama yang kami tetapkan. Semua kajian melaporkan beberapa hasil sekunder yang ditetapkan. Kami mendapati bahawa vaksin VZV tak teraktif mungkin mengurangkan keterukan herpes zoster apabila diberi sebelum dan selepas pemindahan sel stem dalam kalangan orang dewasa dengan limfoma atau leukemia. Vaksin influenza tak teraktif mungkin mengurangkan jangkitan saluran pernafasan atas dan bawah dan kadar kemasukan ke dalam hospital dalam kalangan dewasa dengan mieloma berbilang yang sedang menjalani kemoterapi, atau kanak-kanak dengan leukemia atau limfoma dalam tempoh dua tahun selepas kemoterapi. Walau bagaimanapun, kualiti bukti ini tidak tinggi. Kesan buruk setempat kerap berlaku dengan vaksin, walaupun kesan-kesan buruk yang serius adalah tidak kerap. Lebih banyak RCT berkualiti tinggi diperlukan untuk menjelaskan manfaat dan regimen vaksin virus yang optimal bagi pesakit-pesakit dengan kanser darah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save