Soalan ulasan
Adakah larutan bergaram hipertonik melalui penebula berkesan dan selamat untuk rawatan bayi dengan bronkiolitis akut, berbanding dengan larutan bergaram biasa?
Latar belakang
Bronkiolitis akut adalah jangkitan saluran pernafasan bawah yang paling lazim dalam kalangan kanak-kanak berusia sehingga dua tahun. Bronkiolitis berlaku apabila struktur kecil (bronkiol) yang menuju ke paru-paru dijangkiti, menyebabkan keradangan, bengkak, dan penghasilan lendir. Ini menyebabkan pernafasan sukar. terutamanya dalam kanak-kanak yang sangat kecil, yang mengalami batuk dan berdehit.
Disebabkan bronkiolitis biasanya disebabkan virus, rawatan ubat biasanya tidak berkesan. Garam hipertonik (larutan air garam steril) yang diambil sebagai kabus halus dengan menggunakan penebula mungkin membantu melegakan berdehit dan kesukaran bernafas.
Kami membandingkan semburan larutan bergaram hipertonik (≥ 3%) dengan semburan bergaram biasa (0.9%) untuk bayi dengan bronkiolitis akut.
Ini adalah kemas kini ulasan yang diterbitkan sebelumnya pada 2008, 2010, dan 2013.
Tarikh carian
11 Ogos 2017
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 26 kajian baru dalam kemas kini ini, yang mana 9 menanti penilaian dan 17 kajian (N = 3105) telah ditambahkan. Kami menyertakan sebanyak 28 kajian melibatkan 4195 bayi dengan bronkiolitis akut.
Keputusan utama
Pengewapan bergaram hipertonik mungkin mengurangkan penginapan di hospital selama 10 jam berbanding dengan garam normal untuk bayi yang dimasukkan kerana bronkiolitis akut. Kami mendapati ‘skor keterukan klinikal’, yang digunakan doktor untuk menilai kesihatan pesakit, bagi kanak-kanak yang dirawat sebagai pesakit luar atau di hospital bertambah baik apabila diberikan semburan bergaram hipertonik berbanding garam biasa. Pengewapan bergaram hipertonik juga mungkin mengurangkan risiko hospitalisasi sebanyak 14% dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat sebagai pesakit luar atau di jabatan kecemasan. Kami hanya menemui kesan buruk yang kecil dan yang selesai secara spontan daripada penggunaan pengewapan bergaram hipertonik apabila diberi dengan rawatan untuk mengendurkan saluran udara (bronkodilator).
Pengurangan penginapan di hospital adalah lebih kecil daripada yang difikirkan sebelumnya. Walau bagaimanapun, purata pengurangan 10 jam dalam tempoh penginapan di hospital untuk bayi adalah signifikan kerana bronkiolitis biasanya berdurasi pendek. Pengewapan bergaram hipertonik didapati selamat dan tersedia dengan meluas dengan kos yang rendah.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah rendah ke sederhana: terdapat percanggahan dalam keputusan di antara kajian dan risiko bias dalam beberapa kajian. Oleh itu kajian besar pada masa depan diperlukan untuk mengesahkan manfaat semburan bergaram hipertonik untuk kanak-kanak dengan bronkiolitis yang dirawat sebagai pesakit luar atau di hospital.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my