Fluphenazine (oral) berbanding Plasebo untuk Skizofrenia

Soalan ulasan: Adakah fluphenazine berkesan untuk rawatan skizofrenia berbanding plasebo?

Latar belakang

Fluphenazine adalah satu daripada ubat pertama yang dikelaskan sebagai ‘antipsikotik’ dan didapati secara luas selama berdekad.

Carian bukti

Kami mengemaskini carian elektronik pada Disember 2017 untuk kajian yang merambangkan orang dengan skizofrenia untuk menerima fluphenazine oral atau plasebo. Tiada kajian baharu yang ditemui untuk ditambah dalam kemaskini ini.

Bukti yang ditemui

Tujuh kajian memenuhi keperluan ulasan dan menyediakan data yang boleh digunakan. Bukti sedia ada berkualiti buruk dan mencadangkan manakala fluphenazine adalah antipsikotik kuat dan berkesan, ia mempunyai kesan sampingan yang besar.

Kesimpulan

Ubat antipsikotik adalah rawatan utama dan teras untuk skizofrenia. Ia mambantu merawat simptom psikotik dengan berkesan seperti terdengar suara dan melihat benda-benda (halusinasi) dan mempunyai kepercayaan aneh (khayalan). Fluphenazine adalah satu daripada antipsikotik pertama dan boleh didapati selama 50 tahun. Fluphenazine tidak mahal dan di negara membangun, ia mungkin merupakan rawatan ubat tunggal yang ada. Di kebanyakan bahagian Eropah dan Amerika Utara, walaupun masih boleh didapati, kemunculan ubat antipsikotik yang lebih baharu telah mengurangkan penggunaan fluphenazine dan pasarannya. Fluphenazine mempunyai kesan sampingan yang melemahkan, termasuk: pening; gangguan pergerakan seperti pergerakan atau kekejangan tak terkawal; menggeletar dan tremor; kegelisahan dalaman dan tidak upaya untuk duduk diam; dan masalah dengan tekanan darah, demam dan kekakuan otot.

Ulasan ini menyertakan tujuh kajian dan membandingkan kesan fluphenazine yang diambil melalui mulut dengan plasebo (rawatan palsu). Penemuan ulasan menyokong pandangan meluas fluphenazine merupakan antipsikotik kuat dan berkesan tetapi mempunyai kesan sampingan besar, oleh itu ubat antipsikotik lain mungkin lebih menjadi pilihan. Fluphenazine adalah rawatan tidak sempurna dengan kesan sampingan serius, oleh itu ubat antipsikotik lain yang murah dengan kurang kesan sampingan mungkin lebih baik untuk orang dengan skizofrenia. Walaupun demikian, fluphenazine rendah kos dan banyak didapati, oleh itu mungkin kekal sebagai satu daripada rawatan yang paling meluas digunakan untuk skizofrenia di seluruh dunia. Walau bagaiamanapun, sesetengah kesan sampingan fluphenazine boleh menjadi mahal dari segi penderitaan manusia dan kos rawatan peribadi. Walaupun fluphenazine telah digunakan sebagai ubat antipsikotik untuk berdekad, hanya terdapat sebilangan kecil kajian yang menilai keberkesanan dan potensi untuk menyebabkan kesan sampingan. Penyelidikan berskala besar pada masa depan patut melaporkan hasil penting seperti pembaikan kesihatan mental, relaps, discaj dan kemasukan hospital, tahap kepuasan dengan rawatan dan kualiti hidup.

Ringkasan bahasa biasa telah ditulis oleh pengguna Ben Gray daripada RETHINK.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information