Probiotik sebagai rawatan bagi ekzema

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mencari bukti, melalui analisa data daripada kajian rawak yang terkawal (RCTs), jika probiotik (bakteria, kulat, atau yis) lebih berkesan bagi merawat ekzema dengan tahap keterukan yang pelbagai pada semua peringkat umur jika dibandingkan dengan plasebo ( rawatan serupa tetapi mengandungi bahan yang tidak aktif), tiada rawatan, atau rawatan-rawatan lain yang tidak menggunakan probiotik. Kami ingin mengetahui adakah rawatan dengan probiotik mengurangkan simptom-simptom ekzema, menambah baik kualiti kehidupan, atau mengurangkan tahap keterukan ekzema bagi pesakit di akhir rawatan aktif dan semasa susulan selepas rawatan aktif tamat.

Latar belakang

Ekzema merupakan satu masalah kulit di mana kulit menjadi gatal, merah, tetapi tidak berjangkit, antara 5% hingga 20% orang pada satu masa mengalami keadaan ini di dalam kehidupan mereka. Penghidap ekzema mempunyai jenis bakteria yang berbeza di dalam usus mereka berbanding dengan mereka yang tiada ekzema, dan kadang-kadang mereka ini juga mengalami radang usus. Terdapat pandangan yang mengatakan mungkin simptom ekzema boleh dirawat dengan menukar campuran bakteria di dalam usus ataupun dengan mengurangkan keradangan usus. Probiotik, yang merupakan mikro-organisme hidup yang diambil melalui mulut, contohnya seperti, Laktobasilus bakteria yang dijumpai di dalam susu atau dadih yang tidak dipasteur (di nyah kuman) mungkin boleh digunakan untuk mencapai tujuan di atas.

Ini merupakan kemaskini Ulasan Cochrane yang lalu,iaitu penerbitan tahun 2008; kemaskini ini adalah penting kerana terdapat banyak kajian yang telah dijalankan selepas penerbitan ulasan pertama, dan juga kerana penggunaan probiotik semakin berleluasa dan rawatan baru untuk ekzema sangat diperlukan.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan sebanyak 39 kajian klinikal rawak yang terkawal (RCTs) melibatkan seramai 2599 peserta, yang kami kenalpasti dalam data carian sehingga Januari 2017.

Kajian-kajian ini melibatkan peserta bagi kedua-dua jantina dan pelbagai peringkat umur, walau bagaimanapun kebanyakan kajian mengkaji kanak-kanak yang telah dikatakan mengidap ekzema oleh professional perubatan. Tahap ekzema para peserta merangkumi semua peringkat daripada sedikit hingga teruk, dan kajian-kajian terkawal rawak ini juga membandingkan rawatan dengan mikro-organisme hidup (probiotik) dalam dos yang pelbagai dan kepekatan yang berbeza yang diambil melalui mulut, dibandingkan dengan peserta yang tiada rawatan, menerima plasebo, atau rawatan lain tanpa probiotik.

Probiotik merangkumi bakteria spesis Laktobasilus dan Bifidobakteria yang diambil sendirian atau dicampurkan dengan probiotik lain bagi tempoh antara empat minggu hingga enam bulan. Kami tidak memasukkan kajian yang bertujuan untuk mencegah ekzema. Kebanyakan kajian dijalankan di Eropah, beberapa kajian di Asia, Australia, dan New Zealand - kesemuaanya di dalam persekitaran perubatan. Kebanyakan kajian dijalankan di satu pusat. Pengulas-pengulas mengaplikasikan tidak ada batasan bahasa ke atas pemilihan kajian. Sepuluh kajian telah dibiayai oleh syarikat yang membekalkan probiotik, dan empat kajian lagi tidak mengisytiharkan punca pembiayaan.

Keputusan utama

Makluman bahawa keputusan di dalam ringkasan ini berlandaskan kepada berikut: perbandingan rawatan probiotik dengan tanpa probiotik; rawatan selama enam minggu hingga tiga bulan, kecuali bagi hasil tahap keterukan ekzema yang dinilai oleh penyelidik, di mana para peserta dirawat lebih lama iaitu selama (16 minggu); dan semua hasil diukur pada penghujung tempoh rawatan, selain daripada kesan sampingan, yang mana telah dinilai sepanjang rawatan. Hasil-hasil diukur oleh para peserta atau ibu-bapa mereka kecuali dimaklumkan berlainan. Kajian-kajian yang dimasukkan telah menilai pelbagai probiotik dengan kepekatan dan dos yang berbeza. Daripada aspek skor, nilai skor yang lebih tinggi, menunjukkan simptom yang lebih teruk.

Kami mendapati probiotik yang terdapat pada masa ini mungkin mengurangkan sedikit ataupun tiada perbezaan bagi mengurangkan simptom-simptom ekzema, contohnya kegatalan dan hilang waktu tidur (bukti berkualiti sederhana).

Bagaimanapun, kami dapati bahawa probiotik mungkin mengurangkan sedikit skor tahap keterukan ekzema, iaitu gabungan skor yang diberikan oleh para pesakit dan professional kesihatan yang merawat mereka (bukti berkualiti rendah), walaupun begitu kami tidak pasti jika pengurangan skor itu bermakna kepada pesakit.

Dari aspek kualiti kehidupan pesakit, kami mendapati tiada bukti bahawa probiotik mendatangkan perbezaan (bukti berkualiti rendah).

Kami tidak menemui bukti peningkatan dari segi kesan sampingan; yang dilaporkan di dalam kajian-kajian yang berkaitan dengan rawatan seperti ketidak selesaan perut dan usus berserta cirit, sembelit, muntah, dan sakit perut memulas (bukti berkualiti rendah).

Analisa mencadangkan kajian lanjut kesan probiotik terhadap simptom ekzema mungkin tidak berfaedah, kerana ianya tidak mungkin dapat mengubah hasil keputusan di akhir rawatan aktif.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang menyokong penemuan-penemuan utama kami adalah rendah, kecuali satu kualiti bukti tahap sederhana iaitu simptom ekzema yang dinilai oleh peserta. Antara sebab terjadinya kualiti bukti sebegini adalah kerana terdapat kepelbagaian yang sangat banyak di dalam kajian-kajian yang dinilai, perkara ini tidak dapat dijelaskan, dan juga data yang ada tidak mencukupi untuk menilai hasil yang diingini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save