Pengikat fosfat untuk mencegah komplikasi penyakit buah pinggang kronik

Apakah isunya?

Orang dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) mempunyai pengurangan kemampuan mereka untuk membuang fosfat dari badan melalui buah pinggang, menyebabkan tahap fosfat dalam darah dan tisu badan meningkat apabila fungsi buah pinggang berkurangan. Ini boleh menyebabkan deposit yang terdiri daripada kalsium ditambah fosfat dalam saluran darah dan tisu lain, bersama-sama dengan kerosakan pada kerangka, memburukkan kegagalan buah pinggang dan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, sakit tulang, patah tulang, dan kematian.

Pengikat fosfat sering diberikan dengan makanan kepada orang dengan penyakit buah pinggang, dengan niat untuk mengurangkan penyerapan fosfat diet dari saluran gastrointestinal.

Apa yang kami lakukan?
Ulasan ini bertanya sama ada pengikat fosfat mempengaruhi kerosakan pada saluran darah dan tisu lembut, perubahan kerangka, fungsi buah pinggang, dan risiko penyakit kardiovaskular, sakit tulang, patah tulang, dan kematian yangseiring dengan kegagalan buah pinggang yang semakin memburuk. Kami melibatkan semua kajian klinikal di mana orang dengan CKD diberikan pengikat fosfat yang berbeza (secara kebetulan) selama sekurang-kurangnya lapan minggu. Kami juga memeriksa kualiti maklumat dalam kajian untuk mengetahui apa yang kami dapat ketahui mengenai keputusannya.

Apakah yang kami dapati?

Kami mengenal pasti 104 kajian pengikat fosfat yang merangkumi 13,744 orang. Sesetengah kajian memberi rawatan selama lapan minggu manakala beberapa kajian merawat peserta selama tiga tahun. Orang dalam kajian mempunyai pelbagai fungsi buah pinggang, dan ramai sedang menjalani dialisis. Secara keseluruhannya, kita tidak dapat menentukan beberapa hasil penting kerana banyak kajian klinikal mempunyai kelemahan penting dalam reka bentuk mereka.

Rawatan sevelamer mungkin menurunkan kematian bagi pesakit yang diberikan ubat ini apabila diambil dan bukannya kalsium. Pengikat fosfat mungkin menyebabkan sembelit, tetapi kita tidak boleh pasti tentang risiko kesan sampingan yang lain. Kami tidak pasti sama ada pengikat fosfat mengurangkan komplikasi jantung, strok, sakit tulang, atau kalsifikasi saluran darah.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, kami tidak pasti sama ada pengikat fosfat tertentu bermanfaat kepada pesakit dengan CKD. Terdapat kemungkinan bahawa sevelamer mungkin menghalang kematian berbanding dengan pengikat yang berasaskan kalsium, tetapi kita tidak tahu sama ada ini mungkin disebabkan oleh peningkatan risiko oleh pengikat berasaskan kalsium, risiko yang lebih rendah dengan rawatan sevelamer, atau kemungkinan bahawa kedua-duanya jadi benar. Pesakit perlu mengetahui bahawa ianya tidak pasti sama ada pengikat fosfat membantu mencegah komplikasi penyakit ginjal, tetapi sevelamer mungkin lebih disukai daripada pengikat kalsium.

Kami tidak mendapati perbezaan dalam kesan rawatan untuk pesakit dialisis dan mereka yang tidak dirawat oleh dialisis, walaupun kebanyakan kajian menilai rawatan dengan pengikat berasaskan kalsium adalah di kalangan pesakit dialisis dan mereka yang membandingkan pengikat dengan plasebo adalah antara orang yang tidak dirawat dengan dialisis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information