Penambahan zink bagi mencegah pneumonia dalam kalangan kanak-kanak berumur dua hingga 59 bulan

Soalan ulasan

Kami menilai keberkesanan penambahan zink untuk mencegah pneumonia dalam kalangan kanak-kanak berusia antara dua hingga 59 bulan.

Latar belakang

Zink adalah elemen yang penting bagi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Terlalu sedikit zink dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan, terutamanya cirit-birit dan pneumonia. Kanak-kanak adalah lebih cenderung kepada kekurangan zink kerana mereka kurang mampu menyerap zink dari pemakanan dan sesetengah kanak-kanak, terutama di negara berpendapatan rendah, mungkin tidak menerima zink secukupnya dari ibu sebelum lahir. Penambahan zink untuk kanak-kanak telah dilaporkan dapat mencegah pneumonia.

Tarikh carian

Kami mencari kesusasteraan sehingga Oktober 2016. Ini adalah kemaskini ulasan yang diterbitkan pada tahun 2010. Kami tidak mendapati sebarang kajian baru untuk kemaskini ini.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan enam kajian yang menyiasat penambahan zink untuk mencegah pneumonia. Kajian-kajian telah dijalankan di Bangladesh, Peru, India dan Afrika Selatan dan melibatkan 5193 kanak-kanak berusia antara dua hingga 59 bulan. Kanak-kanak menerima sama ada zink atau rawatan yang kelihatan sama yang tidak mengandungi zink. Dalam dua kajian, kanak-kanak juga telah diberikan vitamin A.

Sumber pembiayaan kajian

Semua kajian adalah dibiayai. Daripada jumlah ini, tiga kajian dengan jelas menyatakan bahawa agensi pembiayaan tidak berperanan dalam reka bentuk dan hasil kajian.

Keputusan utama

Penambahan zink secara signifikan dikaitkan dengan pengurangan insidens dan prevalens pneumonia dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga 59 bulan. Bagi analisis subkumpulan, kami mendapati diagnosis yang lebih ketat (pemeriksaan radiologi) peningkatan dalam pengurangan insidens pneumonia.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kualiti bukti dinilai rendah dalam penilaian GRADE.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information