Rawatan ortodontik untuk gigitan yang dalam gigi hadapan atas yang retroklin dalam kalangan kanak-kanak

Latar belakang

Ortodontik adalah berkenaan dengan perkembangan rahang dan muka, pembentukan gigi dan cara rahang dan gigi menggigit. Secara ideal, gigi bawah hadapan mengigit di bahagian tengah permukaan belakang gigi atas. Apabila gigi bawah hadapan menggigit jauh lebih ke belakang gigi atas hadapan daripada ideal, ini dikenali sebagai maloklusi kelas II. Maloklusi kelas II Divisyen 2 adalah apabila gigi atas hadapan yang retroklin (condong ke arah bumbung mulut) dan overbit meningkat (pertindihan menegak gigi atas hadapan), boleh menyebabkan masalah oral dan boleh mempengaruhi penampilan.

Masalah ini boleh dibetulkan dengan penggunaan pendakap gigi khas (peralatan berfungsi) yang menggerakkan gigi atas ke hadapan dan merubah pertumbuhan rahang atas atau bawah, atau kedua-duanya. Pendakap ini boleh dikeluarkan dari mulut dan pendekatan ini biasanya tidak memerlukan pembuangan mana-mana gigi kekal. Rawatan tambahan dengan pendakap tetap mungkin perlu untuk memastikan hasil yang terbaik.

Pendekatan alternatif adalah untuk menyediakan ruang bagi pembetulan gigi hadapan dengan menggerakkan gigi molar ke belakang. Ini dilakukan dengan mengaplikasi daya kepada gigi dari belakang kepala menggunakan pendakap kepala (alat kepala) dan memindahkan daya ini ke bahagian pendakap gigi tetap atau boleh alih yang dipasang di gigi belakang. Rawatan ini boleh dilakukan dengan atau tanpa cabutan gigi kekal.

Jika penggunaan alat kepala tidak boleh dilaksanakan, gigi belakang boleh diperkukuh dengan pita yang disambung kepada arkus tetap di lelangit mulut atau bersentuhan dengan bahagian depan bumbung mulut. Rawatan ini sering memerlukan dua batang gigi kekal dari tengah arkus rahang atas dicabut (satu di setiap sisi).

Matlamat

Kami menjalankan Ulasan Cochrane ini untuk mengetahui jika rawatan ortodontik tanpa cabutan gigi kekal mempunyai kesan yang berbeza berbanding tiada rawatan ortodontik atau rawatan ortodontik yang melibatkan cabutan gigi kekal, dalam kalangan kanak-kanak dengan maloklusi kelas II divisyen 2.

Kaedah

Kami mencari kesusasteraan saintifik sehingga 13 November 2017 dan mendapati tiada kajian yang relevan untuk dimasukkan dalam ulasan ini.

Keputusan

Tiada kajian klinikal yang menilai sama ada rawatan ortodontik yang dijalankan tanpa cabutan gigi kekal adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding tiada rawatan ortodontik atau rawatan ortodontik yang melibatkan cabutan gigi kekal, dalam kalangan kanak-kanak dengan maloklusi Kelas II divisyen 2.

Rumusan penulis

Tiada bukti dari kajian klinikal untuk mengesyorkan atau tidak menggalakkan sebarang jenis rawatan ortodontik untuk membetulkan gigi kanak-kanak dengan gigitan yang dalam dan gigi hadapan atas yang condong ke arah lelangit mulut. Nampaknya tidak mungkin kajian dijalankan untuk menilai rawatan ini kerana adalah mencabar untuk mereka bentuk dan menjalankannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information