Adakah antibiotik dapat mencegah jangkitan kawasan pembedahan selepas pembedahan kanser payudara?

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan sama ada pemberian antibiotik kepada pesakit sebelum atau semasa pembedahan berkesan untuk mencegah jangkitan kawasan pembedahan (SSI) selepas pembedahan kanser payudara. Penyelidik daripada Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian-kajian relevan (kajian rawak yang terkawal) bagi menjawab persoalan ini dan menjumpai 11 kajian yang relevan. Kajian rawak terkawal merupakan kajian perubatan di mana pesakit dipilih secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza. Kajian jenis ini memberikan bukti perubatan yang paling dipercayai.

Mesej utama
Terdapat bukti yang berkepastian sederhana bahawa antibiotik yang diberikan sebelum pembedahan mungkin mengurangkan risiko SSI di kalangan pesakit yang menjalani pembedahan untuk kanser payudara. Kami tidak pasti sama ada antibiotik yang diberikan semasa pembedahan mengurangkan risiko kejadian SSI, kerana bukti yang sedia ada mempunyai kepastian yang sangat rendah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kanser payudara adalah kanser paling kerap menimpa kaum wanita dan merupakan penyebab utama kematian kanser di kalangan wanita. Mebunag kesemua atau sebahagian payudara secara pembedahan merupakan rawatan utama bagi pesakit yang didiagnosis dengan kanser payudara. Bagaimanapun, jangkitan luka pembedahan adalah komplikasi pembedahan yang sering berlaku, yang melibatkan sehingga 15% orang pesakit. Mendapat SSI mungkin memerlukan rawatan dalam hospital yang lebih lama atau memerlukan pembedahan ulangan. Mengambil antibiotik sebelum pembedahan atau semasa pembedahan dengan tujuan mengurangkan risiko kejadian jangkitan pada luka pembedahan.

Apakah keputusan utama ulasan?
Pada Ogos 2018 kami mencari kajian terkawal rawak yang mengkaji sama ada antibiotik yang diberikan kepada pesakit sebelum atau semasa pembedahan untuk kanser payudara dapat mencegah jangkitan di kawasan pembedahan (SSI). Ini merupakan kemas kini ulasan sedia ada dan tiada kajian baru yang relevan ditemui dalam carian yang paling terkini. Kami menganalisa keputusan daripada 11 kajian yang melibatkan 2867 peserta. Sepuluh kajian melihat pemberian antibiotik kepada pesakit sebelum pembedahan berbanding dengan tidak memberi antibiotik atau pemberian plasebo. Satu kajian membandingkan pemberian antibiotik dalam jangka masa pembedahan (iaitu masa antara induksi anestetik dan pesakit meninggalkan bilik pemulihan) kepada tidak memberikan antibiotik. Keputusan menunjukkan pemberian antibiotik sebelum pembedahan mungkin mengurangkan risiko kejadian jangkitan di kawasan pembedahan bagi pesakit yang menjalani pembedahan kanser payudara dengan kualiti bukti berkepastian sederhana. Tidak ada kesimpulan yang boleh dibuat dari keputusan kajian tunggal yang membandingkan antibiotik semasa pembedahan kepada tiada antibiotik memandangkan bukti yang berkepastian sangat rendah. Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat kejadian yang tidak diingini bagi perkara ini. Tambahan pula, kesan ke atas masa terjadinya permulaan jangkitan, kemasukan semula ke hospital dan kos penjagaan adalah tidak jelas. Ulasan ini juga gagal menentukan jenis antibiotik yang paling sesuai.

Sehingga bilakah ulasan ini dikemaskini?
Kami mencari kajian yang telah mempunyai penerbitan sehingga Ogos 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information