Intervensi pernafasan bagi masalah sesak nafas akibat kegagalan jantung

Latar Belakang

Kegagalan jantung adalah salah satu punca utama kemasukan ke hospital di dunia. Orang yang mengalami kegagalan jantung sering mengalami sesak nafas dan bengkak kaki. Simptom-simptom ini boleh terjadi secara perlahan dalam masa beberapa jam hingga ke beberapa minggu atau dengan cepat yang mengambil masa selama beberapa jam sahaja. Bila ianya terjadi dengan cepat, keadaan ini dinamakan edema paru-paru kardiogenik akut.

Menyediakan udara dengan tekanan melalui topeng muka atau hidung boleh merawat kesesakan nafas.. Rawatan ini dipanggil ventilasi tidak invasif dan penggunaannya bagi rawatan kegagalan jantung masih kontroversi.

Ciri-ciri Kajian

Beberapa kajian rawak terkawal membandingkan rawatan-rawatan untuk mengetahui adakah rawatan ini sebenarnya berkesan. Kami telah mencari kajian rawak yang menbandingkan ventilasi tidak invasif dengan rawatan biasa bagi orang dewasa yang mendapat edema paru paru kardiogenik akut. Kami telah membandingkan kajian-kajian merawat orang dengan ventilasi tidak invasif dengan rawatan perubatan sahaja. Rawatan perubatan merangkumi terapi seperti menyediakan oksigen tambahan dan pil lawas kencing kepada pesakit. Bukti ulasan ini adalah terkini sehingga September 2018.

Soalan ulasan

Kami cuba menjawab persoalan adakah ventilasi tidak invasif untuk orang dewasa yang mengalami edema paru-paru kardiogenik akut dapat mengurangkan kadar kematian, keperluan untuk dipasangkan tiub pernafasan, dan juga serangan jantung.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami menjumpai 24 kajian dengan 2664 peserta yang membandingkan ventilasi tidak invasif kepada rawatan perubatan sahaja. Ventilasi tidak invasif mungkin mengurangkan kematian di hospital. Kualiti hasil kajian yang melaporkan kematian di hospital adalah rendah. Kajian-kajian dijalankan dengan kurang baik, dan keputusan yang diperolehi adalah tidak sama di antara kajian-kajian. Di samping itu, ventilasi tidak invasif mungkin mengurangkan kemungkinan keperluan tiub pernafasan. Kualiti hasil kajian yang melaporkan kadar keperluan tiub pernafasan adalah sederhana. Kajian yang menilai kadar tiub pernafasan tidak dilakukan dengan baik. Ventilasi tidak invasif mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kadar serangan jantung. Kualiti keputusan untuk kajian yang melaporkan kadar serangan jantung adalah sederhana, dan kajian-kajian mempunyai keputusan yang tidak konsisten untuk hasil ini. Kami tidak pasti jika tempoh rawatan di hospital berkurangan dengan ventilasi tidak invasif. Kualiti keputusan untuk kajian yang melaporkan tempoh tinggal di hospital adalah sangat rendah, dimana ia disebabkan oleh perlaksanaan kajian yang kurang baik dan keputusan yang tidak konsisten. Akhir sekali, ventilasi tidak invasif mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kesan sampingan (komplikasi), berbanding dengan penjagaan perubatan. Kualiti hasil kajian yang melaporkan kesan sampingan adalah rendah. Kajian-kajian yang menilai kesan sampingan telah dijalankan dengan kurang baik dan mempunyai keputusan yang tidak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Malaysian Health Technology Assessment Section). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zuromli@yahoo.com

Tools
Information