Intervensi advokasi untuk membantu wanita yang mengalami penderaan oleh pasangan intim untuk menggunakan sumber masyarakat

Latar belakang

Penderaan pasangan (keganasan rumah tangga) sering berlaku di seluruh dunia. Ini termasuk penderaan fizikal, emosi, dan seksual; ugutan; keengganan memberi wang; menyebabkan kecederaan; serta masalah kesihatan fizikal dan emosi yang berpanjangan. Advokasi (sokongan aktif oleh orang yang terlatih) boleh membantu wanita membuat perancangan keselamatan, menghadapi penderaan, dan menggunakan sumber masyarakat.

Bukti tentang kesan advokasi akan membantu perancangan perkhidmatan dan pengendalian.

Kaedah

Kami mencari literatur sains seluruh dunia sehingga April 2015 untuk kajian klinikal yang membandingkan advokasi untuk wanita yang didera tanpa rawatan atau rawatan biasa, untuk memahami sama ada advokasi adalah selamat dan berkesan. Kami menemui 13 kajian yang dijalankan di beberapa buah negara, melibatkan 2141 orang wanita, dari pelbagai golongan etnik, berumur antara 15 hingga 65 tahun dan kebanyakannya miskin.

Kajian berbeza-beza dari segi tempoh advokasi (30 minit hingga 80 jam) dan kakitangan yang terlibat (pelajar, jururawat, ahli advokasi profesional, psikologis, pegawai kebajikan masyarakat, pegawai kesihatan masyarakat, ibu-ibu di klinik antenatal, penyelidik). Sebelas mengukur penderaan, enam menilai kualiti hidup dan enam menilai kemurungan. Tiga mengambil kira advokasi sebagai tambahan kepada bantuan psikiatri. Kebanyakan kajian menjalankan susulan kepada wanita tersebut selama sekurang-kurangnya setahun.

Kajian mengambil wanita daripada persekitaran penjagaan kesihatan, pusat perlindungan keganasan rumah tangga, dan pusat-pusat komuniti. Advokasi ringkas (sehingga 12 jam) selalunya ditemui di persekitaran penjagaan kesihatan, dan advokasi intensif (lebih dari 12 jam) lebih kerap ditemui di persekitaran yang lain.

Hasil utama

Kualiti bukti

Lima kajian mempunyai kecacatan reka bentuk yang mengakibatkan risiko berat sebelah yang tinggi dalam keputusan, manakala lima mempunyai risiko berat sebelah yang sederhana dan tiga kajian mempunyai risiko berat sebelah yang rendah.

Penderaan fizikal

Selepas setahun, advokasi ringkas tidak memberi apa-apa kesan dalam dua kajian berkualiti sederhana di penjagaan kesihatan atau dalam satu kajian komuniti berisiko berat sebelah yang rendah, tetapi advokasi ringkas boleh mengurangkan penderaan kecil dalam kajian penjagaan antenatal lain (risiko berat sebelah yang rendah). Kajian antenatal yang lain menunjukkan pengurangan penderaan serta-merta selepas advokasi ringkas (dengan seorang wanita berkemungkinan besar untuk mendapat manfaat jika lapan wanita menerima advokasi jenis ini), tetapi wanita-wanita tersebut turut mendapat rawatan untuk kemurungan, yang mungkin telah mempengaruhi keputusan tersebut. Dua kajian memberikan bukti yang lemah bahawa advokasi intensif mengurangkan penderaan fizikal sehingga dua tahun selepas intervensi berkenaan (dengan satu dalam lapan wanita yang mungkin mendapat manfaat).

Penderaan seksual

Empat kajian gagal menunjukkan apa-apa manfaat daripada advokasi untuk penderaan seksual.

Penderaan emosi

Satu kajian penjagaan antenatal (risiko berat sebelah yang rendah) melaporkan pengurangan penderaan emosi pada bulan ke 12 selepas advokasi.

Kemurungan

Advokasi ringkas menghalang kemurungan sejurus selepas advokasi pada wanita didera yang menghadiri perkhidmatan penjagaan kesihatan dan wanita mengandung (dengan seorang wanita berkemungkinan besar untuk mendapat manfaat dengan setiap empat hingga lapan wanita yang dirawat). Advokasi intensif tidak mengurangkan kemurungan pada wanita di pusat perlindungan pada kajian susulan di bulan ke 12 dan 24. Bukti berkualiti sederhana-ke-rendah datang kebanyakannya daripada kajian yang mempunyai risiko berat sebelah yang rendah.

Kualiti hidup

Tiga kajian tentang advokasi ringkas mendapati tiada manfaat dari segi kualiti hidup. Advokasi intensif menunjukkan manfaat yang lemah dalam dua kajian yang melibatkan penghuni pusat pelindungan keganasan rumah tangga. Kajian jagaan primer (risiko berat sebelah yang tinggi) menunjukkan motivasi untuk membuat tugasan harian yang lebih baik sejurus selepas advokasi.

Kematian

Dua orang wanita meninggal dunia: seorang dibunuh oleh pasangannya dan seorang membunuh diri; namun penyiasat tidak menganggap dua kematian ini berkait dengan kajian.

Kesimpulan

Advokasi intensif boleh memperbaiki kehidupan seharian untuk wanita di pusat perlindungan keganasan rumah tangga dalam jangka masa pendek dan mengurangkan penderaan fizikal satu atau dua tahun selepas intervensi. Tiada sebarang bukti jelas yang menunjukkan bahawa advokasi intensif mengurangkan penderaan seksual, emosi atau keseluruhannya, atau ia memberi manfaat kepada kesihatan mental wanita. Tidak jelas sama ada advokasi ringkas (kebanyakannya diberikan di persekitaran penjagaan kesihatan) berkesan, namun ia boleh memberikan manfaat kesihatan mental jangka pendek dan mengurangkan penderaan, terutamanya pada wanita hamil dan yang mengalami penderaan yang tidak berapa teruk.

Kami merasakan keputusan beberapa kajian mungkin berat sebelah kerana reka bentuk kajian yang lemah. Terdapat ketekalan yang sangat sedikit antara kajian, dengan variasi dari segi jumlah advokasi yang diberikan, jenis manfaat yang diukur, dan panjang tempoh susulan. Akibatnya, sukar untuk menggabungkan keputusan kajian-kajian tersebut, dan kami tidak pasti berapa banyak intervensi advokasi memberi manfaat kepada wanita, atau kesan jenis advokasi, tempat ia diberikan, atau betapa teruknya penderaan yang dialami oleh wanita yang menerima intervensi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rafidah Bahari (Cyberjaya University College of Medical Sciences). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi rafidahbahari@cybermed.edu.my.

Tools
Information
Share/Save