Pernafasan tekanan oksigen yang tinggi semasa radioterapi untuk rawatan kanser

Soalan ulasan
Bagi mereka yang mempunyai kanser, kami bertanya sama ada gabungan radioterapi dan pernafasan oksigen hiperbarik (HBO) dapat mengurangkan kematian dan kemungkinan penyebaran kanser berbanding radioterapi sahaja atau radioterapi dan pendekatan alternatif untuk mengurangkan kematian dan penyebaran kanser.

Latar belakang
Kanser invasif adalah masalah kesihatan utama dan mengakibatkan kematian berjuta-juta orang setiap tahun. Kebanyakkan kanser adalah rendah dalam oksigen (hipoksik), yang bermaksud mereka tahan terhadap kesan rawatan radioterapi. Atas sebab ini, meningkatkan tahap oksigen dalam tumor dengan membekalkan pernafasan HBO boleh menjadikan rawatan radioterapi lebih efektif.

Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 19 kajian rawak yang melibatkan 2286 peserta. Dos oksigen dalam setiap sesi rawatan kumpulan HBO adalah sama, dengan semua kajian kecuali satu mengendalikan terapi radiasi pancaran luaran di 3 atmosfera mutlak (ATA). Walau bagaimanapun, bilangan rawatan yang diberikan adalah berbeza-beza, dari dua sahaja, jarak tiga minggu, sehingga 40 sesi selama lapan minggu. Jumlah dos radiasi secara amnya dikurangkan dalam peserta HBO untuk mengurangkan kesan sampingan. Tempoh susulan berbeza-beza antara kajian, dari enam bulan hingga 10 tahun, walaupun kebanyakan kajian mengikuti peserta selama dua hingga lima tahun.

Keputusan utama
Menambah HBO dalam rawatan kanser kepala dan leher mengurangkan kematian pada satu tahun dan lima tahun selepas terapi. Pengulangan tumor tempatan juga berkemungkinan kecil dengan HBO pada satu tahun dan lima tahun dalam kanser kepala dan leher. Walau bagaimanapun, kelebihan ini dicapai dengan beberapa kesan buruk. Terdapat peningkatan ketara dalam kadar kecederaan tisu radiasi yang teruk dan peluang sawan semasa terapi HBO.

Kualiti bukti
Kualiti bukti pada umumnya tinggi dengan persetujuan rapat antara beberapa kajian yang berbeza. Begitu juga, terdapat bukti yang berkualiti tinggi tentang peningkatan risiko mengalami tindak balas yang teruk terdapat radiasi semasa pernafasan HBO. Bukti untuk peningkatan risiko sawan semasa rawatan apabila menggunakan HBO adalah berkualiti sederhana, terutamanya kerana bilangan sawan yang kecil yang dilihat dalam kajian yang disertakan.

Kesimpulan
Terdapat beberapa bukti bahawa bernafas oksigen semasa tekanan meningkat boleh memperbaiki kematian dan mengurangkan pertumbuhan semula tumor pada kanser kepala dan leher, tetapi dengan kos peningkatan kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save