Ejen-ejen antikulat untuk mencegah jangkitan kulat pada kanak-kanak dan dewasa yang mengalami penyakit kritikal dengan bilangan neutrophils yang normal di dalam darah.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti-bukti tentang kesan memberikan ubat antikulat sebelum diagnosis muktamad mengenai jangkitan kulat, keatas kematian dari semua punca dan perkembangan jangkitan yang teruk disebabkan oleh kulat (jangkitan kulat invasif) dalam orang dewasa dan kanak-kanak yang mengalami penyakit yang kritikal tetapi bukan neutropenik, iaitu dengan neutrophils berjumlah biasa dalam darah mereka.

Latar belakang

Orang dewasa dan kanak-kanak dengan penyakit kritikal mungkin mengalami jangkitan kulat yang invasif, seperti yang boleh menjejaskan aliran darah dan organ-organ lain. Setelah mendapat jangkitan,ia adalah sukar untuk dirawat dan sering mengakibatkan kematian. Ubat antikulat kadang-kadang diberikan kepada orang dewasa yang mengalami penyakit kritikal dan kanak-kanak cenderung untuk dijangkiti kulat dan juga mereka yang mempunyai tanda-tanda jangkitan apabila ia masih tidak jelas sama ada ia berpunca dari kulat.

Ciri-ciri kajian

Kita melibatkan 22 ujian rawak terkawal (RCTs) (jumlah 2761 peserta). Sebelas ujian membandingkan penggunaan fluconazole dengan plasebo atau tanpa rawatan antikulat. Tiga ujian membandingkan ketoconazole berbanding plasebo. Satu ujian membandingkan anidulafungin dengan plasebo. Satu ujian membandingkan caspofungin dengan plasebo. Dua ujian membandingkan micafungin dengan plasebo. Satu ujian membandingkan amphotericin B dengan plasebo. Dua ujian membandingkan nystatin dengan plasebo dan satu ujian membanding kesan antara clotrimazole, ketoconazole, nystatin dan tiada rawatan. RCTs termasuk peserta dari kedua-dua jantina dengan lingkungan umur yang luas dan tahap penyakit kritikal.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2015.

Sumber pembiayaan kajian

Sumber dana daripada pengilang ubat dilaporkan dalam 11 daripada 22 kajian. Satu lagi kajian dibiayai oleh sebuah agensi kerajaan.

Keputusan-keputusan utama

Keputusan 19 daripada 22 ujian rawak yang melibatkan 2374 peserta menunjukkan bahawa ubat-ubatan antikulat yang diberikan sebelum diagnosis muktamad untuk jangkitan kulat tidak dapat mengurangkan kematian dari semua sebab. Tiada ubat-ubatan yang dikaji mempunyai kaitan dengan pengurangan kematian yang ketara akibat semua punca. Walau bagaimanapun, hasil daripada 17 kajian rawak yang melibatkan 2024 peserta menunjukkan bahawa ubat antikulat mengurangkan dengan ketara kejadian jangkitan kulat yang invasif.

Kami juga mengulas bukti-bukti daripada 5 kajian terhadap kejadian jangkitan kulat yang ringan tetapi kami tidak dapat mencari sebarang perbezaan yang signifikan. Akan tetapi, kami mendapati bukti daripada 12 kajian (1020 peserta) tentang pengurangan ketara kulat dalam bahagian badan (tidak termasuk darah) tidak menyebabkan jangkitan. Sebelas kajian (1691 peserta) melaporkan kesan buruk yang serius yang memerlukan rawatan diberhentikan. Kami mendapati tiada bukti tentang perbezaan kesan buruk yang memerlukan gangguan ubat antikulat antara orang-orang yang menerima dan orang-orang yang tidak menerimanya.

Kualiti bukti

Kualiti bukti mengenai kematian (semua punca) adalah sederhana disebabkan oleh keterbatasan dalam kaedah kajian. Kualiti bukti hasil daripada jangkitan kulat invasif, jangkitan kulat di permukaan, jkoloni kulat dan kesan buruk sehingga memerlukan pemberhentian terapi adalah rendah disebabkan oleh keterbatasan dalam kaedah kajian, jumlah pesakit yang dikaji tidak optimal dan keputusan yang tidak konsisten antara kajian-kajian lain.

Kesimpulan

Terdapat bukti dengan kualiti yang sederhana berkenaan rawatan antikulat yang diberikan sebelum diagnosis muktamad jangkitan kulat itu tidak dikaitkan dengan pengurangan yang ketara dalam kematian semua punca dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa yang mengalami penyakit kritikal dengan bilangan neutrophils di dalam darah yang normal. Jenis rawatan antikulat ini boleh dikaitkan dengan pengurangan jangkitan kulat invasif tetapi kualiti bukti pada ketika ini masih rendah.

Kajian selanjutnya yang berkualiti tinggi amat diperlukan untuk bertambahbaikan bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information