Merawat semua gigi (seluruh mulut) dalam masa 24 jam untuk penyakit gusi (periodontitis) di kalangan orang dewasa

Latar belakang

Penyakit gusi berpanjangan (periodontitis) ialah penyakit radang kronik yang lazim menyebabkan kerosakan tisu lembut (gusi) dan tulang di sekeliling gigi, dan boleh mengakibatkan kehilangan gigi. Rawatan bukan pembedahan digunakan untuk menghentikan dan mengawal penyakit ini. Ia adalah berdasarkan 'instrumentasi subgingiva', iaitu, penyingkiran mekanikal bakteria di bawah gusi pada permukaan akar gigi yang dijangkiti.

Rawatan konvensional dijalankan dalam dua hingga empat sesi selama beberapa minggu, membuat penskaleran bahagian (atau 'kuadran') mulut yang berlainan setiap kali. Secara tradisi ia dikenali sebagai 'penskaleran and pengetaman akar' (SRP). Pendekatan alternatif ialah merawat seluruh mulut dalam masa 24 jam dalam satu atau dua sesi (dikenali sebagai penskaleran seluruh mulut (FMS)). Apabila agen antiseptik (seperti klorheksidin) ditambah kepada FMS, intervensi ini dipanggil disinfeksi seluruh mulut (FMD). Rasional pendekatan seluruh mulut adalah untuk mengurangkan jangkitan semula kawasan yang telah dirawat.

Soalan ulasan

Ulasan ini, yang dihasilkan dalam Cochrane Oral Health, adalah kemas kini kedua yang terbitkan pada 2008. Ia menilai keberkesanan rawatan seluruh mulut dalam masa 24 jam (FMS dan FMD) berbanding rawatan konvensional selama beberapa minggu, dan sama ada terdapat perbezaan antara FMS dan FMD. Bukti adalah terkini hingga Jun 2021.

Ciri-ciri kajian

Kajian-kajian yang disertakan ialah kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang ramai dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menilai pendekatan seluruh mulut untuk instrumentasi subgingiva, dengan sekurang-kurangnya tiga bulan pemantauan (susulan). Kedua-dua FMS dan FMD dibandingkan dengan SRP kuadran konvensional (kawalan). Para peserta mempunyai diagnosis klinikal periodontitis kronik dan kami kecualikan kajian-kajian orang dengan periodontitis agresif, gangguan sistemik (mempengaruhi bahagian lain badan) atau yang mengambil antibiotik.

Kami sertakan sembilan kajian baharu dalam kemas kini ini dan kami kecualikan satu kajian yang telah disertakan dalam versi ulasan terdahulu. Ulasan ini kini menyertakan 20 kajian dengan 944 peserta.

Keputusan utama

Kesan rawatan FMS dan FMD adalah sederhana dan tiada implikasi jelas untuk penjagaan periodontium. Tiada rawatan yang lebih baik daripada rawatan biasa penskaleran dan pengetaman akar seperempat mulut pada satu masa.

Mudarat paling utama ialah peningkatan suhu badan selepas rawatan FMS atau FMD yang dilapor dalam tiga kajian.

Dalam amalan, keputusan untuk memilih satu pendekatan berbanding yang lain akan berdasar kepada keutamaan dan kemudahan untuk pesakit dan doktor gigi.

Kepastian bukti

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah rendah untuk kebanyakan perbandingan dan hasil, disebabkan oleh bilangan kajian dan peserta yang kecil, dan batasan dalam reka bentuk kajian-kajian. Penambahan sembilan kajian tidak mengubah penemuan versi ulasan terdahulu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochranr@rcsiucd.edu.my

Tools
Information