Pembedahan pembuangan tonsil (tonsilektomi) dengan coblation atau kaedah pembedahan yang lain

Soalan ulasan

Ulasan ini membandingkan kaedah coblation dengan kaedah pembuangan tonsil yang lain untuk menilai pemulihan berikutan tonsilektomi atau adenotonsilektomi.

Latar belakang

Pembedahan pembuangan tonsil (tonsilektomi) adalah operasi yang lazim. Pesakit mungkin mengalami kesakitan sehingga dua minggu selepas pembedahan. Perdarahan boleh berlaku sama ada sejurus selepas pembedahan ('perdarahan primer ' dalam masa 24 jam selepas pembedahan) atau lambat ('pendarahan sekunder' lebih daripada 24 jam selepas pembedahan). Terdapat banyak kaedah tonsilektomi; kaedah tradisional adalah dengan alat pembedahan logam. Coblation adalah satu kaedah baru di mana pakar bedah menggunakan hanpis berkuasa elektrik yang 'membakar' tisu-tisu menggunakan suhu yang rendah.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini termasuk bukti sedia ada sehingga April 2017. Kami memasukkan 29 kajian, dengan sejumlah 2561 peserta. Semua kajian berisiko bias sederhana atau tinggi. Tujuh kajian melibatkan orang dewasa, 16 kajian melibatkan kanak-kanak dan enam melibatkan kedua-dua dewasa dan kanak-kanak.

Kebanyakan kajian mengukur sakit menggunakan skala laporan pesakit (contohnya, meminta orang untuk menilai kesakitan mereka dalam skala 1 hingga 10).

Keputusan utama

Teknik coblation ini mungkin menyebabkan kurang sakit sehari selepas pembedahan dan tiga hari selepas pembedahan, tetapi mungkin tiada perbezaan sakit tujuh hari selepas pembedahan. Kami tidak pasti sama ada jumlah pengurangan sakit yang diperhatikan pada 1 hingga 3 hari selepas pembedahan adalah penting kepada pesakit.

Tiada perbezaan atau terdapat sedikit perbezaan dalam risiko pendarahan pada hari pertama selepas pembedahan, tetapi mungkin ada peningkatan yang kecil dalam risiko pendarahan dengan coblation selepas hari pertama. Bagi setiap 1000 orang pesakit dengan tonsilektomi, 50 pesakit mempunyai perdarahan dengan coblation, berbanding 36 dengan teknik pembedahan tradisional.

Kualiti bukti

Bukti bagi perbezaan sakit adalah berkualiti rendah atau sangat rendah dan untuk perbezaan dalam perdarahan selepas pembedahan ia adalah berkualiti rendah. Ini bermakna kami mempunyai sedikit keyakinan dalam keputusan; kesan sebenar mungkin sangat berbeza - kami tidak tahu pada peringkat ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information