Ubat-ubatan untuk membantu mengurangkan kebimbangan di kalangan mereka yang hampir akhir hayat disebabkan oleh penyakit

Soalan ulasan

Kami cuba menjawab soalan "keberkesanan ubat untuk merawat kebimbangan dan risau di kalangan orang dewasa yang mempunyai penyakit yang semakin teruk dan berada dalam tahun terakhir kehidupan mereka?"

Latar belakang

Kebimbangan atau kerisauan adalah masalah biasa bagi orang yang mempunyai penyakit kronik yang semakin teruk dan berada dalam akhir hayat mereka. Pesakit mungkin merasa bimbang kerana banyak sebab. Sebab-sebab ini termasuk bimbang tentang kesakitan dan rawatan, perlu bergantung kepada orang lain untuk membantu mereka dan perlu menghadapi kematian. Kebimbangan boleh membuatkan pesakit sukar menghadapi penyakit mereka. Kebimbangan boleh membuat masalah lain menjadi lebih teruk dan lebih sukar untuk diuruskan, masalah seperti sakit atau rasa sesak nafas. Bagi orang yang menghampiri akhir hayat mereka disebabkan oleh sakit, adalah penting untuk mengurangkan kebimbangan mereka sebanyak yang boleh. Penggunaan sesetengah ubat boleh membantu dalam mengurangkan kebimbangan. Namun demikian, kebimbangan dalam orang yang menghampiri akhir kehidupan tidak dikaji dengan banyak. Pesakit yang mempunyai masalah kebimbangan seringkali tidak dirawat dengan betul.

Kami telah mencari kajian yang melihat keberkesanan ubat-ubatan dalam mengurangkan kebimbangan di kalangan orang dewasa yang menghampiri akhir hayat mereka. Kami berminat dalam kajian yang membandingkan penggunaan ubat dengan tanpa ubat, antara ubat-ubatan yang berlainan atau dos yang berbeza untuk ubat tersebut, atau rawatan seperti bercakap dengan seseorang atau terapi relaksasi. Kami berminat dalam kajian yang mengukur kebimbangan. Kami berminat dalam ujian yang direka untuk memastikan peserta mempunyai peluang yang sama untuk menerima mana-mana rawatan yang diuji dalam setiap percubaan. Ulasan ini dilakukan pada kali pertama dalam tahun 2004 dan dikemaskini pada tahun 2012. Ini adalah kemas kini yang kedua. Kami telah mencari kajian hingga Mei 2016 untuk dimasukkan dalam kajian ini.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati tiada kajian untuk dimasukkan ke dalam kajian ini. Tiada kajian dijumpai dalam ulasan asal 2004 atau untuk kemas kini pada 2012. Terdapat kekurangan dalam kajian yang menilai kesan ubat-ubatan yang mengurangkan kebimbangan di kalangan orang dewasa yang menghampiri akhir hayat mereka. Kami mendapati dua kajian yang relevan yang boleh dimasukkan dalam kemas kini pada masa depan, tetapi kami memerlukan maklumat yang selanjutnya sebelum membuat kesimpulan. Kebimbangan boleh mempunyai impak yang besar terhadap cara seseorang boleh mengatasi penyakit mereka, dan oleh itu kita perlu tahu bagaimana untuk mengurangkan kebimbangan mereka. Kajian yang berkualiti baik tentang bagaimana untuk mengurangkan kebimbangan adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save