Apakah faedah dan risiko pemberian kortikosteroid kepada wanita hamil yang berisiko kelahiran pramatang?

Mengapakah soalan ini penting?

Bayi yang dilahirkan pramatang (sebelum kehamilan 37 minggu) boleh mengalami masalah bernafas sekiranya paru-paru mereka tidak cukup berkembang. Hingga separuh bayi yang dilahirkan sebelum 28 minggu, dan sepertiga bayi yang dilahirkan sebelum 32 minggu, mengalami masalah bernafas dan kebanyakan bayi tidak dapat hidup. Yang lain mungkin menjadi cacat disebabkan kekurangan oksigen kerana mengalami kesukaran bernafas semasa kelahiran.

Wanita yang mungkin berisiko melahirkan pramatang boleh diberi kortikosteroid untuk mengelakkan bayi mereka mengalami masalah bernafas setelah mereka dilahirkan. Kortikosteroid adalah ubat anti-radang yang membantu mematangkan paru-paru bayi sebelum dilahirkan. Ia biasanya diberikan kepada wanita yang berisiko bersalin awal, biasanya sebagai dua suntikan, walaupun ia juga dapat diberikan sebelum kelahiran pramatang yang direncanakan dan dalam beberapa kes suntikan berulang dapat diberikan.

Untuk mengetahui tentang faedah dan risiko pemberian kortikosteroid kepada wanita yang berisiko melahirkan lebih awal, kami mengkaji bukti dari kajian penyelidikan.

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian yang membandingkan kesan kortikosteroid terhadap:

- rawatan plasebo (dummy); atau

- tiada rawatan.

Kami kemudiannya membandingkan keputusan-keputusannya dan merumuskan bukti dari semua kajian. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 27 kajian yang melibatkan 11,272 wanita dan 11,925 bayi. Kajian dibuat di 21 negara yang berbeza, termasuk negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.

Kesihatan bayi

Bukti yang kukuh menunjukkan bahawa kortikosteroid:

- mengurangkan kematian perinatal (bilangan kelahiran mati dan bayi mati dalam 28 hari pertama kehidupan);

- mengurangkan kematian neonatal (bilangan bayi mati dalam 28 hari pertama kehidupan);

- mengurangkan masalah pernafasan yang serius pada jam pertama kehidupan;

- tidak banyak mempengaruhi berat lahir bayi.

Kortikosteroid mungkin mengurangkan risiko:

- pendarahan dalam otak;

- kelewatan perkembangan semasa zaman kanak-kanak.

Kami hanya sederhana yakin tentang dua penemuan ini, kerana:

- bayi dalam kajian mungkin tidak mewakili semua bayi yang dilahirkan pramatang; atau

- kajian mungkin telah dilakukan dengan cara yang memasukkan kesilapan ke dalam keputusannya.

Kesihatan ibu

Bukti menunjukkan bahawa kortikosteroid mungkin tidak mempengaruhi risiko:

- ibu mati selepas melahirkan;

- mengembangkan chorioamnionitis (keradangan atau jangkitan pada tisu yang mengelilingi bayi semasa mengandung);

- mengembangkan endometritis (keradangan pada lapisan rahim).

Kami hanya sederhana yakin tentang ketiga-tiga penemuan ini kerana berdasarkan beberapa peristiwa. Sehingga kami mempunyai lebih banyak bukti dari lebih banyak wanita, kami tidak dapat memastikan bahawa tidak ada perbezaan risiko.

Kami menemui sedikit bukti mengenai:

- wanita yang mengandung beberapa bayi; wanita dengan tekanan darah tinggi; atau wanita yang membran sekitar bayinya pecah lebih awal;

- kesan kortikosteroid pada bayi yang dilahirkan pramatang berbanding sangat pramatang;

- dos kortikosteroid yang berbeza.

Ini bermaksud bahawa kami tidak dapat memastikan bahawa penemuan dalam ulasan ini berlaku untuk semua wanita dan bayi yang berisiko kelahiran pramatang. Kami juga tidak dapat menentukan dos kortikosteroid yang terbaik.

Apakah maksudnya?

Kortikosteroid yang diberikan kepada wanita yang berisiko kelahiran pramatang meningkatkan kemungkinan bahawa, setelah mereka dilahirkan, bayi mereka akan dapat bernafas dan bernyawa.

Bukti yang ada menunjukkan bahawa kortikosteroid mungkin tidak berkaitan dengan risiko untuk bayi atau ibu. Bukti lebih lanjut adalah diperlukan tentang:

- sama ada fungsi kortikosteroid berbeza untuk wanita yang mengandung beberapa bayi atau yang mempunyai tekanan darah tinggi;

- sama ada faedah dan risiko kortikosteroid adalah sama ketika bayi dilahirkan pramatang, atau kurang pramatang;

- dos kortikosteroid mana yang paling sesuai.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga September 2020.

Ringkasan visual beberapa keputusan daripada ulasan ini boleh didapati di sini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information