Rawatan antibiotik untuk pesakit radang paru-paru yang di ventilasi

Latar belakang
Ventilator adalah mesin yang membantu pernafasan pesakit. Tiub ventilator masuk ke dalam mulut dan melalui saluran udara. Kadang-kadang terdapat bakteria pada tiub ventilator yang menjangkiti paru-paru pesakit, membawa kepada penyakit yang dikenali sebagai radang paru-paru berkaitan ventilator. Radang paru-paru berkaitan ventilator boleh menyebabkan kesan bahaya yang ketara, dan kadang-kadang boleh membawa maut. Semasa perawatan penghidap radang paru-paru berkaitan ventilator, doktor mesti membuat keputusan terapi antibiotik yang akan dipreskripsikan, kebiasaannya tanpa pengetahuan jenis jangkitan bakteria. Keputusan ini penting kerana rawatan awal yang tidak sesuai mungkin meningkatkan risiko kesan bahaya dan penginapan di hospital yang lebih lama.

Tarikh carian
Kami telah mencari kajian-kajian sehingga Disember 2015.

Ciri-ciri kajian
Kami melihat kepada kajian yang melibatkan orang dewasa berumur lebih 18 tahun yang dirawat dalam unit rawatan rapi untuk radang paru-paru berkaitan ventilator dan memerlukan rawatan antibiotik. Kami menganalisa 12 kajian yang mempunyai 3571 peserta.

Keputusan utama
Semua kajian yang terlibat melihat kepada penggunaan satu pelan rawatan antibiotik berbanding yang lain, tetapi terdapat variasi dalam kalangan kajian. Terdapat potensi untuk keserongan kerana beberapa kajian tidak melaporkan hasil kajian bagi kesemua peserta, dan kebanyakan dibiayai oleh syarikat-syarikat farmaseutikal dan pengarang-pengarang kajian mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat tersebut.

Kami menggunakan teknik-teknik statistik untuk menilai keputusan kami. Untuk perbandingan antara satu dengan pelbagai antibiotik, kami tidak menemui perbezaan dalam kadar kematian ataupun penyembuhan, atau kejadian buruk. Untuk perbandingan antara terapi gabungan dengan tambahan opsional kami hanya mampu menganalisa penyembuhan klinikal bagi satu antibiotik Tigecycline dan imipenem-cilastatin yang mana imipenem-cilastatin dilihat mempunyai penyembuhan klinikal yang lebih tinggi. Kami juga melihat carbapenem (antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang tahan pelbagai ubatan) berbanding rawatan selain / bukan carbapenem; kami mendapati tiada perbezaan dalam kadar kematian atau kesan buruk, tetapi kami mendapati carbapenems mempunyai kaitan dengan peningkatan dalam penyembuhan klinikal.

Kualiti buktiKami menilai kualiti bukti bagi kebanyakan hasil sebagai sederhana, dan sangat rendah untuk penyembuhan klinikal apabila terapi satu / sejenis antibiotik dibandingkan dengan terapi beberapa antibiotik. Kami juga mendapati kualiti bukti adalah rendah untuk kejadian buruk apabila carbapenem dibandingkan dengan rawatan selain / bukan carbapenem.

Kesimpulan
Kami tidak menjumpai perbezaan antara terapi sejenis dengan gabungan, memberikan sokongan kepada penggunaan pelan rawatan antibiotik sejenis bagi pesakit radang paru-paru berkaitan ventilator. Ini mungkin tidak boleh digunapakai ke atas kesemua pesakit kerana kajian tidak mengenal pasti pesakit yang berisiko kepada pendedahan terhadap bakteria yang berjenis bahaya.

Kami tidak dapat menilai pilihan terbaik satu / sejenis antibiotik untuk merawat pesakit radang paru-paru berkaitan ventilator kerana bilangan kajian yang terlalu rendah, tetapi carbapenems mungkin mencapai kadar penyembuhan yang lebih baik berbanding dengan antibiotik lain yang diuji.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information