Rawatan esofagus Barrett

Salah satu daripada dua jenis yang kanser esofagus yang utama, iaitu adenokarsinoma esofagus, semakin meningkat insidensnya di negara Barat. Prognosis pesakit-pesakit adenokarsinoma esofagus yang dirawat adalah menakutkan dengan kurang daripada 15% daripada individu-individu boleh hidup selepas lima tahun. Esofagus Barrett telah dikenalpasti sebagai tahap prakanser bagi adenokarsinoma. Esofagus Barrett telah disahkan berpunca daripada komplikasi refluks asid dan hempedu yang biasanya, tetapi tidak semestinya, membawa kepada gejala-gejala pedih ulu hati. Sebagai respon kepada agen-agen yang memudaratkan tersebut, lapisan normal skuamus esofagus digantikan dengan lapisan jenis kolumnar yang menyerupai lapisan usus. Jenis lapisan usus ini berisiko kemalignanan paling tinggi dan istilah esofagus Barrett digunakan hanya untuk jenis lapisan ini di kebanyakan tempat di dunia, dan dalam kebanyakan terbitan penyelidikan. Esofagus Barrett boleh progres menjadi adenokarsinoma melalui siri berperingkat yang dipanggil displasia yang boleh dikenalpasti dalam sampel biopsi yang diperiksa di bawah mikroskop.

Oleh kerana hasil selepas rawatan adenokarsinoma yang sangat teruk, terdapat peningkatan minat dalam rawatan untuk esofagus Barrett. Tujuan rawatan-rawatan adalah untuk menghapuskan lapisan esofagus Barrett atau displasia bagi mengurangkan risiko pembentukan kanser. Ulasan sistematik ini menunjukkan terapi pengurangan asid (secara pembedahan atau ubat-ubatan) mempunyai sedikit atau tiada kesan ketara untuk memulihkan esofagus Barrett, tetapi pembedahan anti-refluks dilihat dapat mengurangkan displasia dan melindungi dari pembentukan displasia. Beberapa terapi endoskopi juga telah dibangunkan sejak tahun kebelakangan ini. Koagulasi argon plasma, yang membakar segmen esofagus Barrett tersebut, dan terapi fotodinamik, yang menggunakan cahaya untuk mengaktifkan ubat yang disuntik, kedua-duanya telah menunjukkan kejayaan menghapuskan esofagus Barrett dan displasia. Namun, kewujudan sebahagian kecil kawasan esofagus Barrett, yang berada di bawah lapisan skuamus yang baru terbentuk terus menjadi kebimbangan. Teknik yang agak baru menggunakan gelombang radiofrekuensi, dipanggil ablasi radio frekuensi dilihat berjaya menghapuskan esofagus Barrett dengan kurang kesan sampingan. Pada masa kini terdapat sedikit kajian rawak terkawal untuk membantu pengamal perubatan dan pesakit dalam membuat keputusan mengenai pilihan rawatan yang terbaik untuk jangka masa panjang mahu pun jangka masa pendek. Secara keseluruhannya, sehingga kini ablasi radiofrekuensi menjadi terapi paling berjaya untuk pesakit kanser peringkat awal atau displasia peringkat teruk (gred tinggi) dalam esofagus Barrett. Masih banyak kajian diperlukan dalam bidang ini untuk memberi panduan amalan klinikal bagi penyakit lazim ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information
Share/Save