Valproate untuk mania akut

Tajuk utama: Valproate adalah rawatan antimania yang berkesan. Valproate mungkin inferior daripada olanzapine dalam kalangan dewasa. Valproate mungkin inferior daripada risperidone bagi mania akut dalam populasi kanak-kanak dan remaja.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?
Orang dengan gangguan bipolar dan penyedia penjagaan kesihatan mereka.

Mengapa ulasan ini penting?
Gangguan bipolar adalah gangguan mood yang lazim dalam masalah kesihatan mental. Pesakit mungkin mengalami simptom berulang dengan mood yang meningkat atau meragam, kemurungan, atau gabungan kedua-duanya. Rawatan biasanya dengan ubat psikiatrik, termasuk penstabil mood, antidepresan dan antipsikotik. Valproate adalah ubat yang digunakan dalam rawatan mania secara tradisional, tetapi keberkesanannya berbanding beberapa antipsikotik yang lebih baharu masih belum mantap.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?
Ulasan ini menyiasat keberkesanan dan kebolehterimaan valproate berbanding plasebo dan ubat-ubatan lain dalam rawatan episod mania akut gangguan bipolar.

Kajian-kajian manakah yang dimasukkan dalam ulasan ini?
Para penulis mencari pangkalan data perubatan untuk mendapatkan laporan kajian-kajian klinikal (kajian rawak terkawal) yang diterbitkan sehingga kini. Kami mengenal pasti 25 kajian yang relevan melibatkan 3252 peserta. Kajian-kajian ini membandingkan kesan-kesan valproate dengan plasebo atau ubat-ubatan konvensional lain, samada secara tunggal dan digabung dengan rawatan lain.

Apakah bukti yang diperolehi daripada ulasan ini?

Kami mendapati bukti berkualiti tinggi yang menunjukkan valproate lebih berkesan berbanding plasebo apabila diguna secara tunggal dalam kalangan dewasa. Terdapat bukti bercampur-campur yang membandingkan olanzapine dan valproate. Bukti berkualiti rendah tidak mendapati perbezaan dalam kadar respon olanzapine berbanding valproate. Walau bagaimanapun, bukti berkualiti tinggi mencadangkan olanzapine lebih baik dalam mengurangkan simptom manik. Ini mencadangkan olanzapine mungkin lebih berkesan. Bukti berkualiti sederhana menunjukkan tiada perbezaan dalam kadar respon antara litium dan valproate. Tiada cukup bukti untuk menilai sebarang perbezaan dengan yakin antara ubat valproate dan antimanik lain dalam kalangan dewasa.

Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kami mendapati bukti berkualiti rendah valproate lebih inferior berbanding risperidone. Bukti adalah tidak cukup berkualiti untuk menilai dengan yakin sebarang perbezaan antara ubat valproate dan antimanik lain dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Dari segi toleransi dalam kalangan dewasa, terdapat bukti berkualiti sederhana valproate menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding plasebo dan bukti berkualiti rendah ia menyebabkan lebih kesan sampingan berbanding oxcarbazepine. Terdapat bukti berkualiti rendah valproate mungkin menyebabkan kurang kesan sampingan berbanding carbamazepine. Bukti berkualiti rendah mendapati tiada perbezaan dalam bilangan individu dengan kesan sampingan apabila mengambil valproate berbanding litium. Tiada cukup bukti untuk menilai sebarang perbezaan dengan yakin antara ubat valproate dan antimanik lain dalam kalangan dewasa.

Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, bukti berkualiti sangat rendah mendapati tiada perbezaan bilangan individu dengan kesan sampingan apabila mengambil valproate berbanding plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information