Akupunktur untuk kemurungan

Mengapakah ulasan ini penting?

Kemurungan terjadi dengan meluasnya di dalam masyarakat kita. Mereka yang mengalami kemurungan dalam istilah klinikal mengalami masalah kurang berminat terhadap kehidupan dan aktiviti yang pada kebiasaannya digemari. Sesetengah orang yang kemurungan menggunakan terapi komplementari dan sesetengah daripada mereka ini lebih menggemari terapi ini berbanding ubat-ubatan. Rawatan akupunktur melibatkan tusukan jarum-jarum halus ke tempat yang berlainan di tubuh untuk membetulkan ketidakseimbangan tenaga dalam badan.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Para remaja dan orang dewasa; pengamal penjagaan kesihatan, termasuk pengamal perubatan umum yang bekerja dengan atau terlibat dalam rawatan individu yang mempunyai kemurungan; dan pembekal dan pesuruhjaya perkhidmatan penjagaan kesihatan akan berminat dengan ulasan ini.

Apakah matlamat soalan yang cuba dijawab dalam ulasan ini?

Ulasan ini, yang merupakan kemaskini ke atas ulasan Cochrane yang lalu (penerbitan 2010), bertujuan untuk menjawab soalan-soalan berikut.

• Adakah akupunktur lebih baik dari tanpa rawatan atau penjagaan biasa?

• Adakah akupuntur lebih baik daripada akupunktur terkawal (satu rawatan yang menyerupai akupunktur)?

• Adakah akupunktur lebih baik dari terapi farmakologi seperti ubat anti-kemurungan?

• Adakah gabungan akupunktur dengan ubat anti-kemurungan lebih baik daripada ubat anti-kemurungan sahaja?

• Adakah akupunktur lebih baik daripada terapi psikologi?

• Adakah akupunktur lebih selamat daripada rawatan jenis lain untuk kemurungan?

Kajian yang manakah telah dimasukkan dalam ulasan ini?

Sebanyak 64 kajian rawak terkawal telah dimasukkan (dengan 7104 peserta) di mana perubahan dalam simtom-simtom kemurungan telah diukur.

Apakah yang dapat ditunjukkan oleh bukti-bukti daripada ulasan ini kepada kita?

Penulis ulasan ini telah menilai kualiti bukti dari kebanyakan kajian yang dilibatkan sebagai sangat rendah atau rendah, dan kesan-kesan yang dinyatakan di bawah perlu diinterpretasi dengan berhati-hati.

Akupunktur boleh menghasilkan pengurangan yang sederhana dalam keterukan kemurungan bila dibandingkan dengan rawatan yang biasa/tanpa rawatan. Penggunaan akupunktur boleh mengakibatkan sedikit pengurangan dalam keterukan kemurungan bila dibandingkan dengan akupunktur kawalan. Kesan akupunktur berbanding ubatan dan terapi psaikologi tidak dapat ditentukan memandangkan kualiti bukti yang sangat rendah. Risiko kejadian yang tidak diingini dengan akupunktur juga tidak jelas, kerana kebanyakan kajian tidak melaporkan kejadian yang tidak diingini.

Apa yang perlu berlaku seterusnya?

Penulis ulasan ini mencadangkan kajian rawak terkawal yang berkualiti tinggi perlu dijalankan. Kajian-kajian ini perlu menggunakan kaedah ‘blinding’ yang sesuai (di mana peserta-peserta tidak tahu rawatan yang diterima) bilamana perlu dan harus merangkumi penialian terhadap kualiti hidup, penilaian terhadap penerimaan rawatan; dan susulan jangka masa sederhana dan panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi azlanh@usm.my

Tools
Information
Share/Save