Intervensi untuk menggantikan kehilangan gigi: pelbagai jenis implan pergigian

Soalan ulasan

Untuk membandingkan kesan pelbagai implan pergigian. Implan ditanam di dalam tulang dan biasanya berbeza dari segi bentuk, bahan dan jenis permukaan.

Latarbelakang

Gigi yang hilang boleh diganti dengan implan pergigian yang ditanam dalam tulang, sambil tulang membentukdi keliling implan. Korona, jambatan atau dentur boleh dilekatkan kepada implan.Pelbagai modifikasi implan telah dicipta untuk meningkatkan kejayaan implan untuk jangka masa, dan pelbagai jenis telah dipasarkan. Terdapat lebih 1300 jenis implan pergigian dalam pelbagai bahan, bentuk, saiz, panjang serta ciri permukaan atau salutan.

Ciri kajian

Ulasan kajian sedia ada dilaksanakan oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane dan bukti adalah terkini sehingga 17 Januari 2014. Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian yang mana peserta diletak secara rawak ke dalam satu daripada dua kumpulan rawatan) membandingkan pelbagai jenis implan pergigian dalam peserta yang disusuli sehingga sekurang-kurangnya satu tahun.

Kami mendapati 27 kajian di pelbagai negara - enam di Itali; lima di New Zealand, lima di Sweden, tiga di Netherlands, dua di Korea, satu di Turki, satu di Jerman, satu di Switzerland dan tiga kajian berbilang pusat di Eropah. Kebanyakan kajian berlangsung di klinik pergigian universiti atau hospital, empat dijalankan di klinik persendirian dan kajian berbilang pusat Eropah juga melibatkan beberapa klinik persendirian.

Terdapat perbandingan 38 jenis implan dengan pelbagai ciri permukaan, bentuk, darjah ketulenan titanium (logam) dan aloi titanium (campuran logam) Hasil utama kajian adalah kegagalan implan.

Keputusan utama

Ulasan mendapati bahawa tiada cukup bukti daripada kajian-kajian tersebut untuk menunjukkan keunggulan sebarang jenis ciri implan atau sistem implan.

Tiada bukti yang menunjukkan sebarang jenis implan pergigian mempunyai kejayaan jangka panjang. Bukti adalah terhad untuk menunjukkan implan dengan permukaan licin kurang terdedah kepada kehilangan tulang akibat jangkitan kronik (peri-implantitis) berbanding implan dengan permukaan kasar. Walau bagaimanapun, bukti mencadangkan implan dengan permukaan licin mungkin gagal lebih awal berbanding implan dengan permukaan kasar.

Kualiti bukti

Dua kajian mempunyai risiko bias yang rendah, 10 mempunyai risiko bias yang tidak jelas dan 15 kajian berisiko bias yang tinggi.

Kebanyakan kajian tidak cukup berkuasa, bermaksud tiada cukup peserta dalam kajian untuk menghasilkan rumusan yang kukuh. Generalisasi keputusan kajian-kajian mesti dibuat dengan berhati-hati apabila mengambilkira keadaan klinikal biasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail, (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save