Adakah antibiotik berkesan untuk mencegah jangkitan selepas cabutan gigi?

Apakah masalahnya?

Gigi yang rosak atau berpenyakit gusi atau gigi geraham bongsu yang sakit sering dicabut (ekstrak) oleh doktor gigi. Cabutan gigi adalah prosedur pembedahan yang meninggalkan luka di dalam mulut yang boleh dijangkiti. Jangkitan boleh menyebabkan bengkak, sakit, bernanah, demam dan ‘soket kering’ (di mana soket gigi tidak dipenuhi klot darah, dan terdapat sakit teruk dan bau busuk).

Komplikasi-komplikasi tersebut tidak menyenangkan bagi pesakit dan boleh menyebabkan kesukaran untuk mengunyah, bercakap, dan membersihkan gigi, dan bahkan boleh menyebabkan tidak hadir bekerja atau belajar. Rawatan bagi jangkitan adalah mudah dan melibatkan penyaliran jangkitan dari luka dan pesakit mendapat antibiotik.

Mengapa soalan ini penting?

Antibiotik berfungsi membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan, atau dengan memperlambatkan pertumbuhannya. Walau bagaimanapun, sesetengah jangkitan reda dengan sendiri. Mengambil antibiotik yang tidak diperlukan mungkin membuatnya tidak berkesan di masa akan datang. 'Rintangan antimikrob' adalah masalah yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Antibiotik juga boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti cirit-birit dan loya. Sesetengah pesakit mungkin alah terhadap antibiotik, dan antibiotik mungkin tidak sesuai diguna dengan ubat lain.

Doktor gigi sering memberi antibiotik kepada pesakit pada masa cabutan sebagai langkah keselamatan untuk mengelak terjadinya jangkitan. Ini mungkin tidak perlu dan boleh mengakibatkan kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada pemberian antibiotik sebagai langkah pencegahan mengurangkan jangkitan dan komplikasi lain selepas cabutan gigi. Kami juga ingin memahami sama ada antibiotik berfungsi secara berbeza dalam kalangan orang yang sihat berbanding orang dengan keadaan kesihatan seperti diabetes atau HIV.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai keberkesanan antibiotik berbanding plasebo (ubat palsu), diberi ketika tiada jangkitan untuk mencegah jangkitan selepas cabutan gigi. Kajian-kajian boleh menyertakan orang dari sebarang umur yang menjalani cabutan gigi.

Di mana mungkin, kami mengumpulkan keputusan kajian dan menganalisisnya bersama. Kami juga menilai kualiti setiap kajian untuk menilai kebolehpercayaan (kepastian) bukti kajian-kajian individu dan bukti keseluruhan.

Apa yang kami temui

Terdapat 23 kajian dengan 3200 peserta yang menerima antibiotik (pelbagai jenis dan dos) atau plasebo, sejurus sebelum dan/atau selepas cabutan gigi atau kedua-duanya.

Empat kajian dilakukan di Sepanyol, masing-masing tiga di Brazil, Sweden, dan UK, dua di India, dan masing-masing satu di Colombia, Denmark, Finland, Perancis, Poland, New Zealand, Nigeria, dan AS. Semua kecuali satu kajian menyertakan pesakit yang sihat berusia 20-an. Dua puluh satu kajian menilai pembuangan gigi geraham bongsu di jabatan pergigian hospital, satu kajian menilai cabutan gigi lain dan satu kajian menilai pembedahan mulut yang kompleks. Tiada kajian yang disertakan menilai cabutan gigi di amalan pergigian am untuk mencabut gigi yang rosak.

Keputusan utama

Antibiotik yang diberi sejurus sebelum atau selepas pembedahan (atau kedua-duanya) mungkin mengurangkan risiko jangkitan dan soket kering setelah pembuangan gigi geraham bongsu oleh pakar bedah mulut. Walau bagaimanapun, antibiotik boleh menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini (secara umum singkat dan kecil) bagi pesakit-pesakit ini. Kami tidak menemui bukti antibiotik mencegah sakit, demam, bengkak atau masalah pembukaan mulut terbatas dalam kalangan pesakit yang melalui cabutan gigi geraham bongsu.

Tiada bukti untuk mengesahkan kesan pencegahan antibiotik bagi cabutan gigi yang rosak teruk, gusi berpenyakit atau cabutan bagi pesakit yang kurang sihat atau mempunyai imuniti rendah terhadap jangkitan.

Adakah keputusan-keputusan ini boleh percaya?

Keyakinan kami terhadap keputusan-keputusan adalah terbatas kerana kebimbangan tentang aspek reka bentuk kajian dan pelaporan semua kajian-kajian yang disertakan.

Apakah maksudnya?

Kami tidak menemui kajian dalam kalangan pesakit dengan sistem imun rendah, penyakit lain, atau dalam kalangan kanak-kanak kecil atau pesakit yang lebih tua, oleh itu hasil kajian kami mungkin tidak terpakai untuk orang yang berisiko tinggi mendapat jangkitan. Juga, cabutan gigi kebanyakannya dilakukan oleh pakar bedah mulut, oleh itu ulasan ini mungkin tidak terpakai untuk doktor gigi yang bekerja di praktik umum.

Satu lagi kebimbangan yang tidak dapat dinilai oleh kajian klinikal (iaitu kajian yang menguji pendekatan perubatan baharu) adalah penggunaan antibiotik meluas dalam kalangan orang yang tiada sebarang jangkitan cenderung menyumbang kepada pembentukan rintangan antimikrob.

Kami menyimpulkan antibiotik yang diberi kepada orang yang sihat ketika mereka membuat cabutan gigi mungkin membantu mencegah jangkitan, tetapi keputusan untuk mengguna antibiotik harus dinilai berdasarkan pesakit individu dengan keadaan kesihatan mereka dan kemungkinan komplikasi jangkitan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Ini adalah ulasan yang dikemas kini. Bukti adalah terkini sehingga April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor's University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information