Tramadol untuk merawat sakit neuropatik

Kesimpulannya

Penyelidik menjumpai kualiti bukti yang sangat rendah bahawa tramadol yang dimakan mempunyai kesan berfaedah yang penting pada kesakitan dalam orang dengan sakit neuropatik sederhana atau teruk. Terdapat bukti yang teramat sedikit untuk menerima kesimpulan ini.

Latar belakang

Sakit neuropatik adalah sakit yang datang dengan spontan atau secara tidak normal dari kecederaan saraf. Ia adalah berbeza dari mesej sakit yang dibawa oleh saraf sihat dari tisu tercedera (jatuh atau terpotong, atau terbakar). Sakit neuropatik sering dirawat dengan ubat-ubatan yang berbeza dengan yang digunakan untuk sakit dari tisu yang rosak, yang kita panggil ubat penahan sakit.

Ubat penahan sakit opioid (ubat seperti morfin) kadang-kala digunakan untuk merawat sakit neuropatik. Morfin berasal dari tumbuh-tumbuhan, tetapi kebanyakkan opioids adalah dibuat di makmal daripada yang diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan. Tramadol adalah ubat opioid yang dibuat di makmal.

Ciri-ciri kajian

Pada Januari 2017, penyelidik telah mencari ujian klinikal di mana tramadol digunakan untuk merawat sakit neuropatik keatas orang dewasa. Enam kajian yang memenuhi kriteria kemasukan, 236 peserta secara rawak, diberikan rawatan dengan tramadol atau plasebo. Tempoh kajian adalah di antara empat dan enam minggu. Tidak semua hasil yang dilaporkan menepati kehendak penyelidik.

Penyelidik menakrifkan keputusan yang baik adalah seseorang yang mempunyai tahap kelegaan kesakitan yang tinggi dan mampu untuk terus mengambil ubat tanpa kesan sampingan yang menyebabkan mereka menghentikan rawatan.

Keputusan utama

Tiga kajian kecil melaporkan bahawa sakit berkurangan sebanyak separuh atau lebih baik dalam sesetengah orang. Pengurangan kesakitan kepada separuh atau lebih baik dicapai oleh 5 dalam 10 dengan tramadol dan 3 dalam 10 dengan plasebo. Kesan sampingan yang dialami oleh 6 dalam 10 dengan tramadol dan 3 dalam 10 dengan plasebo, dan 2 dalam 10 dengan tramadol dan hampir tiada seorang dengan plasebo berhenti mengambil ubat tersebut disebabkan oleh kesan sampingan.

Kualiti bukti

Bukti tersebut mempunyai kualiti yang sangat rendah. Ini bermakna bahawa penyelidikan tersebut tidak memberikan petunjuk yang boleh dipercayai terhadap kesan yang berkemungkinan dan kebarangkalian yang tinggi bahawa kesan akan berbeza daripada apa yang ditunjukkan dalam analisis ujian ini. Kajian kecil seperti dalam ulasan ini lebih cenderung kepada keputusan yang berlebihan berbanding dengan kesan yang dijumpai dalam kajian yang lebih besar dan lebih baik. Terdapat masalah-masalah lain yang mungkin membawa kepada keputusan yang bersifat optimistik berlebihan. Kualiti bukti yang rendah dan kekurangan dalam sebarang faedah yang penting bermakna bahawa kita memerlukan kajian yang besar dan baru, sebelum kita dapat mengetahui sama ada tramadol berguna untuk pengurusan sakit neuropatik ataupun tidak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information