Penilaian risiko genetik kanser untuk individu berisiko menghidapi kanser payudara berketurunan

Pengenalpastian komponen keturunan dalam kanser payudara telah membawa kepada peningkatan tuntutan terhadap maklumat, penenteraman dan ujian genetik yang menyebabkan penubuhan klinik-klinik genetik untuk kanser berketurunan. Khidmat genetik kanser boleh melibatkan kaunseling lanjutan, penyaringan pakar dan ujian mutasi genetik. Penilaian risiko adalah langkah pertama dalam proses memberi maklumat dan sokongan kepada pesakit and keluarga mereka tentang risiko mewarisi kanser. Walaubagaimanapun, maklumat mengenai kaedah yang berasaskan bukti dalam memberi khidmat penilaian risiko genetik kanser adalah kurang. Untuk ulasan ini, pencarian sistematik, ulasan dan penilaian karya tentang penyampaian khidmat penilaian risiko genetik kanser bagi individu yang bimbang tentang kanser payudara berketurunan telah dilaksanakan.

Ulasan ini melibatkan lapan kajian (10 kertas penyelidikan) yang mencakupi proses penilaian risiko untuk kanser payudara keturunan. Kajian-kajian ini fokus kepada kesan psikososial pesakit, ukuran hasilan lain dan aspek-aspek penyampaian perkhidmatan serta memberikan data 1973 peserta. Disebabkan bilangan kajian lapangan yang sedikit, ulasan ini mendapati bukti tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan yang tegas mengenai kaedah terbaik menyampaikan khidmat penilaian risiko bagi individu yang bimbang tentang sejarah menghidap kanser payudara dalam keluarga. Kesemua lapan kajian yang disertakan telah menunjukkan peningkatan kesejahteraan psikologi dan penurunan tahap kebimbangan kanser hasil khidmat penilaian risiko. Walaupun terhad, hasil ulasan ini mencadangkan bahawa perkhidmatan penilaian risiko genetik kanser boleh membantu mengurangkan tekanan, memperbaiki ketepatan persepsi individu tentang risiko kanser payudara, dan meningkatkan pengetahuan mengenai kanser payudara dan genetik. Bukti-bukti yang sedia ada menunjukkan yang perkhidmatan itu tidak menyebabkan bahaya kepada pesakit dan dalam jangka pendek boleh mempunyai kesan positif dengan membantu meringankan penderitaan dan mengurangkan kebimbangan terhadap kanser. Daripada ulasan ini, ia tidak menunjukkan yang petugas profesional kesihatan yang melakukan penilaian risiko mempunyai impak yang signifikan terhadap hasil-hasil ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli (Cyberjaya University College of Medical Sciences). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wanrosalinawanrosli@gmail.com

Tools
Information