Kaedah pembedahan histerektomi untuk penyakit giekologi benigna

Soalan ulasan

Para penulis Cochrane menilai pembedahan histerektomi manakah yang paling berkesan dan selamat dalam kalangan wanita dengan penyakit ginekologi benigna.

Latar belakang

Histerektomi untuk penyakit ginekologi benigna, kebanyakannya perdarahan abnormal rahim, prolaps atau fibroid rahim, adalah salah satu prosedur ginekologi yang paling kerap (30% wanita sebelum umur 60; 590,000 prosedur setiap tahun di Amerika Syarikat). Ia boleh dilakukan melalui beberapa kaedah. Histerektomi abdominal melibatkan pembuangan rahim melalui insisi di bahagian bawah abdomen. Histerektomi vaginal melibatkan pembuangan rahim melalui faraj, tanpa insisi abdomen. Histerektomi laparoskopik melibatkan ‘pembedahan lubang kunci’ melalui insisi kecil di abdomen. Rahim boleh dikeluarkan melalui faraj ataupun selepas morselasi (memotong kecil), melalui salah satu insisi kecil tersebut. Terdapat beberapa jenis histerektomi laparoskopik, bergantung kepada tahap pembedahan laparoskopik berbanding yang dilaksana melalui faraj. Terkini, histerektomi laparoskopik telah dilakukan secara robotik. Dalam pembedahan robotik, pembedahan dilaksanakan oleh robot, manakala robot tersebut dipandu oleh pakar bedah (manusia) dari kerusi di sudut bilik pembedahan. Adalah penting untuk memahami manfaat dan mudarat relatif setiap kaedah untuk membuat keputusan pilihan yang terbaik bagi wanita yang memerlukan histerektomi untuk penyakit ginekologi benigna.

Ciri-ciri kajian

Kami menganalisis 47 kajian rawak terkawal (RCT). RCT adalah sejenis kajian di mana peserta yang dikaji diperuntukkan secara rawak kepada salah satu kumpulan rawatan yang berbeza yang sedang disiasat. Kajian jenis ini dianggap cara terbaik untuk menilai sama ada rawatan benar-benar berkesan iaitu benar-benar membantu pesakit. Ulasan sistematik meringkaskan secara sistematik RCT sedia ada tentang sesuatu subjek.

Sejumlah 5102 wanita mengambil bahagian. Perbandingan adalah histerektomi vaginal berbanding histerektomi abdominal (sembilan kajian, 762 wanita), histerektomi laparoskopik berbanding histerektomi abdominal (25 kajian, 2983 wanita). histerektomi laparoskopik berbanding histerektomi vaginal (16 kajian, 1440 wanita) dan histerektomi laparoskopik berbanding histerektomi bantuan-robot (dua kajian, 152 wanita); tambahan juga terdapat kajian yang membuat tiga perbandingan (empat kajian, 410 wanita). Terdapat juga kajian-kajian yang membandingan pelbagai jenis histerektomi laparoskopik, termasuk port-tunggal berbanding port-berbilang (tiga kajian, 203 wanita), histerektomi laparoskopik total berbanding histerektomi laparoskopik vaginal (satu kajian, 101 wanita) dan laparoskopik mini berbanding histerektomi laproskopik konvensional (satu kajian, 76 wanita). Hasil-hasil utama adalah kembali kepada aktiviti normal, kepuasan, kualiti hidup dan komplikasi pembedahan.

Keputusan utama

Kami mendapati histerektomi vaginal membolehkan kembali kepada aktiviti normal lebih cepat berbanding histerektomi abdominal. Tiada bukti sebarang perbezaan di antara kedua-duanya untuk hasil-hasil utama lain.

Histerektomi laparoskopik juga membolehkan kembali lebih cepat kepada aktiviti normal berbanding histerektomi abdominal. Walau bagaimanapun, histerektomi laparoskopik berisiko lebih tinggi merosakkan pundi kencing atau ureter. Tiada bukti perbezaan antara histerektomi vaginal dan laparoskopik atau antara laparoskopik dan histerektomi bantuan-robot untuk hasil-hasil utama.

Kami membuat kesimpulan histerektomi vaginal patut dilaksanakan apabila sesuai. Di mana histerektomi vaginal tidak sesuai, kedua-dua kaedah laparoskopik dan histerektomi abdominal ada pro dan kontra dan patut diambilkira dalam proses pembuatan pilihan.

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2014.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk kebanyakan perbandingan adalah rendah hingga sederhana. Pembatasan utama adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah dan selang keyakinan yang lebar pada anggaran kesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information