Penambahan vitamin A untuk mengurangkan penularan HIV ibu-kepada-anak

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan utama ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan pemberian penambahan vitamin A kepada wanita HIV-positif, semasa hamil atau selepas bersalin, atau kedua-duanya, ke atas risiko penularan HIV ibu-kepada-anak. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menilai semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan memasukkan lima kajian. Ini adalah kemaskini ulasan terbitan tahun 2011.

Apakah mesej utama ulasan ini?

Memberi penambahan vitamin A kepada wanita HIV-positif, semasa hamil atau selepas bersalin, atau kedua-duanya, mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan risiko penularan HIV ibu-kepada-anak (bukti kepastian sederhana).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Lima kajian menepati kriteria kemasukan ulasan ini. Dua kajian adalah dari Afrika Selatan dan satu kajian masing-masing dari Malawi, Tanzania, dan Zimbabwe. Kajian-kajian tersebut membandingkan wanita yang menerima penambahan vitamin A dengan wanita yang tidak menerima penambahan tersebut. Tiada peserta yang menerima terapi antiretroviral (ART).

Ulasan menunjukkan wanita yang hidup dengan jangkitan HIV dan bukan mengambil ART:

- memberi penambahan vitamin A kepada wanita HIV-positif semasa hamil, sebaik sahaja selepas bersalin, atau kedua-duanya, mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko penularan HIV ibu-kepada-anak (bukti kepastian sederhana) dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kematian kanak-kanak sehingga umur dua tahun (bukti kepastian rendah);

- pemberian penambahan vitamin A kepada wanita HIV-positif semasa hamil boleh meningkatkan min berat badan lahir (bukti kepastian rendah) dan mungkin mengurangkan bilangan bayi berat badan rendah (bukti kepastian sederhana), tetapi tidak pasti sama ada intervensi mempunyai kesan ke atas bilangan kelahiran pramatang, kelahiran mati, atau kematian dalam kalangan wanita (bukti kepastian sangat rendah).

Sebahagian besar intervensi telah digantikan oleh ART, yang didapati secara meluas dan efektif dalam mencegah penularan HIV ibu-kepada-anak.

Adakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan telah mencari kajian sehingga 25 Ogos 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save