Memantine sebagai rawatan untuk demensia

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai memantine, yang merupakan salah satu ubat utama bagi rawatan pesakit demensia. Kami ingin menentukan samada memantine boleh memperlahankan kemajuan demensia dan jika ianya mendatangkan bahaya dalam apa-apa cara. Kami juga ingin mengetahui jika mengabungkan memantine kepada ubatan demensia yang lain boleh memberikan kesan tambahan.

Latarbelakang

Jenis demensia paling lazim ialah penyakit Alzheimer (AD), diikuti dengan demensia vaskular. Anggaran satu atau dua orang dalam 100 mempunyai AD pada umur 65, dan kadar ini berganda dua setiap lima tahun. Demensia melibatkan hilang ingatan, kesukaran berfikir dan kekerapan perubahan dalam mood dan tingkah laku.

Terdapat dua jenis utama rawatan: ubat perencat acetyl cholinesterase (ChEI) dan memantine. Ubat-ubatan ini bertindak secara berbeza dan kami ingin mengetahui samada memberi kedua-dua ubat secara bersama bertindak lebih baik berbanding dengan ubat-ubatan ChEI diberi secara tersendiri.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari sebanyak mungkin kajian-kajian yang relevan yang mempunyai rekabentuk yang tidak diragui (kajian-kajian rawak yang terkawal) dan telah membandingkan memantine dengan plasebo untuk setiap jenis demensia. Kami menjumpai 44 kajian yang melibatkan kira-kira 10,000 pesakit. Kebanyakan kajian (29 dalam 7885 orang) merupakan pesakit yang mempunyai AD. Kebanyakan kajian telah dijalankan dengan baik, tetapi sesetengah tidak dilaporkan dengan baik dan kami telah mendapat maklumat tambahan daripada syarikat ubatan. Kami telah menganalisis keputusan secara berasingan bagi mereka yang mempunyai demensia yang ringan dan mereka yang mempunyai demensia sederhana hingga teruk.

Keputusan utama

Memantine mempunyai kesan bermanfaat yang kecil dalam pesakit yang mempunyai AD yang sederhana hingga teruk. Manfaat ini menjejaskan pemikiran, kebolehan untuk menjalankan aktiviti harian normal, dan keseriusan masalah tingkah laku dan mood. Pada keseluruhannya, tolerasi terhadapnya adalah baik dalam mereka yang mempunyai AD yang sederhana hingga teruk, tetapi boleh menyebabkan rasa pening dalam beberapa orang yang mengambilnya.

Satu hasil penting ialah penambahan memantine kepada rawatan ChEI yang telah ditetapkan juga menghasilkan kerosakan / kemerosotan yang kurang berbanding plasebo.

Bagaimanapun, dalam mereka yang mempunyai AD yang ringan, mungkin memantine hanyalah lebih kurang baiknya berbanding plasebo. Kebanyakannya mempunyai bukti berkualiti sederhana.

Dalam demensia vaskular, dua kajian dalam anggaran 750 orang menunjukkan kemungkinan adanya faedah kecil bagi kesukaran berfikir, tingkah laku dan mood, dan mungkin kurang agitasi untuk memantine berbanding dengan plasebo. Ini menunjukkan bukti yang berkualiti sederhana atau rendah.

Kualiti bukti
Pada keseluruhannya, bukti bagi memantine untuk AD adalah berkualiti tinggi, dan diperolehi dari banyak kajian yang melibatkan ribuan peserta. Kami yakin dalam penemuan untuk AD, tetapi kurang bagi mereka yang mempunyai demensia jenis lain.

Ringkasan bahasa biasa ini telah dikemas kini sehingga Mac 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information