Adakah probiotik membantu merawat cirit-birit berjangkit akut?

Apakah tujuan ulasan ini?

Cirit-birit berjangkit akut adalah penyakit global utama yang khususnya menjejaskan orang-orang di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Kami ingin mengetahui jika pengambilan probiotik membantu dalam memendekkan masa yang diambil untuk simptom selesai. Kami mencari kajian yang melihat kepada penggunaan probiotik dalam orang dengan cirit-birit akut. Kami mencari kajian yang mana rawatan diterima orang ditentukan secara rawak; ia biasanya memberikan bukti yang boleh dipercayai.

Mesej utama

Probiotik mungkin tidak mempengaruhi berapa lama cirit-birit akut bertahan. Kami tidak mengetahui jika ia memendekkan masa untuk sembuh dari cirit-birit. Kami memerlukan bukti yang boleh dipercayai dari kajian lebih lanjut untuk menentukan sama ada probiotik membantu merawat cirit-birit berjangkit akut.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

“Cirit-birit” adalah nama untuk pergerakan usus yang kerap atau membuang najis yang luar biasa lembut atau berair. Jangkitan usus oleh bakteria, virus, atau parasit menyebabkan cirit-birit akut dan paling kerap disebarkan melalui air yang tercemar dengan najis. Cirit-birit akut biasanya bertambah baik dalam beberapa hari. Walau bagaimanapun, dalam cirit-birit akut yang teruk, air, garam, dan nutrien yang boleh hilang dari badan adalah penting, menyebabkan dehidrasi dan juga kematian. Rawatan untuk cirit-birit akut bertujuan untuk mencegah atau membalikkan dehidrasi, mempercepat masa penyembuhan, dan memendekkan masa seseorang menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

Probiotik adalah bakteria dan yis hidup yang dianggap mengembalikan keseimbangan semula jadi bakteria di dalam usus apabila ini telah diganggu oleh penyakit atau rawatan. Probiotik sering digambarkan sebagai bakteria “baik” atau “mesra”; ia terdapat dalam yogurt atau diambil sebagai makanan tambahan. Dalam cirit-birit berjangkit akut, probiotik boleh bertindak terhadap mikroba berbahaya yang menyebabkan cirit-birit, membantu usus melawannya, atau mengurangkan keradangan dan kerosakan pada usus.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 82 kajian pada 12,127 orang (kebanyakannya kanak-kanak) dengan cirit-birit akut. Hanya 26 kajian berjalan di negara-negara yang mempunyai jumlah kematian yang tinggi (dari sebarang sebab) dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Kajian-kajian ini membandingkan kesan probiotik berlainan jenis dengan tiada rawatan tambahan atau dengan rawatan plasebo (palsu). Kami berminat dengan:

• berapa banyak orang mengalami cirit-birit lebih daripada 48 jam; dan
• berapa lama, secara purata, simptom cirit-birit berlangsung.

Terdapat banyak perbezaan dari segi kajian-kajian ini direka dan dijalankan. Kajian-kajian menggunakan definisi yang berbeza untuk “cirit-birit akut” dan “pengakhiran simptom cirit-birit”, dan mereka menguji banyak probiotik yang berbeza. Oleh itu, kami tidak dapat memasukkan keputusan semua kajian dalam analisis kami.

Kami tidak mengesan perbezaan antara mengambil probiotik dan mengambil plasebo atau tiada rawatan tambahan bagi jumlah kanak-kanak yang mengalami cirit-birit melebihi 48 jam (dua kajian di negara berpendapatan tinggi; 1770 kanak-kanak). Kami tidak pasti sama ada pengambilan probiotik mempengaruhi tempoh masa simptom cirit-birit berlangsung (enam kajian; 3058 orang). Penemuan-penemuan ini tidak dipengaruhi oleh usia, status nutrisi dan sosioekonomi, kawasan, atau jangkitan rotavirus dalam peserta, atau sama ada mereka mengambil ubat antibiotik atau suplemen zink.

Mengambil probiotik mungkin tidak mempengaruhi:

• berapa banyak orang mengalami cirit-birit melebihi 14 hari (sembilan kajian; 2928 orang); atau
• berapa banyak orang dimasukkan ke hospital dengan cirit-birit (enam kajian; 2283 orang).

Adalah tidak jelas sama ada pengambilan probiotik memendekkan masa di hospital berbanding dengan mengambil plasebo atau tiada rawatan tambahan (24 kajian; 4056 orang). Beberapa kajian melaporkan sebarang kesan yang tidak diingini probiotik; tiada kesan tidak diingini yang serius dilaporkan dalam kalangan orang yang mengambil probiotik.

Bolehkah keputusan-keputusan ini dipercayai?

Ulasan edisi yang diterbitkan sebelumnya membuat kesimpulan dari banyak kajian kecil dalam bidang ini dan menunjukkan terdapat kesan.

Analisis baru ini menunjukkan bahawa dalam topik ini terdapat bias penerbitan, dengan kajian-kajian kecil yang menunjukkan kesan positif lebih cenderung untuk diterbitkan, yang memesongkan keputusan. Analisis baru ini mengambil kira perkara ini.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 17 Disember 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information