Rawatan imunosupresif untuk pesakit nefritis lupus proliferatif.

Apakah isunya?

Dalam penyakit lupus, sistem imuniti badan yang bertujuan untuk melawan penyakit telah menyerang anggota-anggota badan sendiri, termasuk buah pinggang. Lebih kurang separuh pesakit lupus menghidapi masalah buah pinggang. Dianggarkan satu dalam 10 pesakit lupus buah pinggang (nefritis lupus) akan mendapat kegagalan buah pinggang. Matlamat rawatan ialah untuk melindungi fungsi buah pinggang dan menghindari kesan sampingan.

Walaupun jangka hayat pesakit lupus telah bertambah, rawatan sedia ada boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang serius seperti keguguran rambut, jangkitan yang serius, dan kemandulan. Ia sangat penting untuk mengetahui rawatan lupus yang manakah berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang sedikit.

Apa yang kami lakukan?

Kami melakukan carian dalam Cochrane Kidney and Transpant Specialised Register sehingga 2 Mac 2018 dan kami menggabungkan semua kajian mengenai rawatan untuk mengawal sistem imuniti badan untuk nefritis lupus.

Apakah yang kami temui?

Dalam kemas kini ulasan ini, 74 kajian yang melibatkan 5175 pesakit lupus nephritis boleh dikaji. Rawatan ini melibatkan cyclophosphamide secara intravena (diberi melalui vena), mycophenolate mofetil (MMF) secara oral (tablet diberi melalui mulut), azathioprine dan tacrolimus (diberi secara sendirian atau bersama MMF). Kami juga menjumpai kajian tentang rawatan biologik yang direka untuk mengubah bahagian tertentu sistem imuniti badan yang menyebabkannya menyerang diri sendiri. Kami melihat pada hasil utama samada rawatan menghalang pesakit daripada memerlukan dialisis dan mengawal kerosakan lupus pada tisu buah pinggang (dipanggil remisi). Kami juga melihat pada kesan sampingan yang serius seperti kematian, jangkitan, kemandulan dan keguguran rambut.

Selepas menggabungkan kajian sedia ada, MMF mungkin lebih baik bagi mengawal kerosakan lupus kepada buah pinggang berbanding cyclophosphamide. Walau bagaimanapun, julat kesan sebenar menunjukkan MMF hanya memberi sedikit atau tiada kesan ke atas remisi penyakit berbanding rawatan cyclophosphamide. Rawatan MMF bersama tacrolimus mungkin boleh menyebabkan bertambahnya remisi penyakit. MMF boleh mengakibatkan kehilangan rambut dan cirit-birit yang lebih teruk, tetapi kami tidak pasti sama ada MMF mengurangkan kemandulan atau kesan sampingan yang serius. MMF lebih baik daripada azathioprine dalam mencegah penyakit buah pinggang untuk jangka panjang. Tiada kajian memberitahu kami sama ada rawatan mempunyai kesan ke atas kematian atau keperluan untuk dialisis, dan terdapat kepastian bukti yang sangat rendah untuk penggunaan biologik kepada pesakit lupus nephritis.

Kesimpulan

Pesakit lupus nefritis mungkin mempunyai hasil yang sama atau sedikit lebih baik apabila dirawat dengan MMF atau MMF dengan tacrolimus berbanding pesakit yang menerima cyclophosphamide secara intravena. Kami masih tidak pasti rawatan yang mana terbaik untuk nefritis lupus untuk mengelakkan keperluan dialisis dalam jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information