Alpha-fetoprotein atau ultrasonografi hati, atau kedua-duanya, sebagai ujian saringan kanser hati dikalangan pengidap hepatitis B kronik

Kanser hati merupakan punca utama kematian di kalangan pesakit hepatitis B kronik. Saringan pesakit dengan melakukan ultrasound hati atau ujian darah 'alpha-fetoprotein', atau keduanya, dilakukan dengan meluasnya bagi mengesan kanser hati pada peringkat awal. Saringan ini dilakukan kerana pada peringkat awal, kanser hati dapat dirawat dengan pembedahan membuang bahagian yang rosak ('resection') atau pemindahan hati (transplantasi) , atau keduanya, dengan harapan dapat memberi peluang untuk sembuh yang lebih tinggi. Hanya tiga kajian boleh dimasukkan di dalam ulasan ini. Satu daripada kajian ini dijalankan di Shanghai, China. Ia membandingkan saringan dua kali setahun dengan ultrasound dan 'alpha-fetoprotein' dengan tiada saringan langsung. Kajian-kajian ini mempunyai risiko kesilapan sistematik (bias) yang tinggi dan beberapa penerbitan hasil kajian memberikan keputusan yang berbeza. Satu kajian lagi dijalankan di Toronto, Kanada. Ia membandingkan saringan dengan alpha-fetoprotein dan ultrasound berbanding saringan dengan alpha-fetoprotein sahaja. Kajian ini melibatkan bilangan peserta yang sangat sedikit. Oleh kerana tiada peserta yang tidak disaring, kami tidak dapat menilai samada saringan berkesan mengurangkan kadar kematian atau tidak. Kajian selebihnya diterbitkan dalam bentuk abstrak sahaja. Kajian ini dilakukan bagi menentukan jangka masa optimum untuk saringan menggunakan alpha-fetoprotein dan ultrasound. Kumulatif anggaran jangka hayat hidup selama empat tahun tidak menunjukkan perbezaan yang ketara antara dua kajian jangka masa saringan iaitu setiap empat bulan dan 12 bulan. Kesimpulannya, sehingga kini, bukti masih tidak mencukupi tentang saringan untuk kanser hati dikalangan pengidap jangkitan hepatitis B kronik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S.Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save