Perbandingan dua pengendur otot, rocuronium dan succinylcholine, untuk memudahkan intubasi induksi turutan pantas

Soalan ulasan

Ubat yang manakah (rocuronium atau succinylcholine) lebih baik dalam menyediakan keadaan terbaik untuk memasukkan tiub pernafasan secara pantas kepada peserta pelbagai umur bagi situasi elektif atau kecemasan?

Latarbelakang

Dalam situasi kecemasan sesetengah orang memerlukan anestesia umum dengan tiub endotrakeal (satu tiub untuk membantu mereka bernafas). Adalah penting untuk mempunyai ubat yang bertindak pantas bagi membolehkan para doktor melaksanakan prosedur ini secara cepat dan selamat. Terkini, ubat yang kerap digunakan untuk mengendurkan otot adalah succinylcholine. Succinylcholine bertindak-cepat dan bertahan hanya untuk beberapa minit, yang sangat dikehendaki dalam keadaan ini. Walau bagaimanapun, sesetengah orang tidak boleh menggunakan ubat ini kerana ia menyebabkan ketidakseimbangan garam atau reaksi yang serius, oleh itu ubat yang mempunyai kesan yang sama tanpa kesan sampingan tersebut mempunyai kelebihan. Satu ubat alternatif adalah rocuronium, sejenis pengendur otot dengan kesan sampingan yang kurang tetapi mempunyai jangkamasa tindakan lebih panjang. Ulasan ini membandingkan kualiti keadaan intubasi (mudah bagi doktor memasukkan tiub endotrakeal dengan pantas dan selamat) antara rocuronium dan succinylcholine dalam semua peringkat umur dan pelbagai situasi klinikal.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan dalam ulasan ini, kajian-kajian terkawal daripada 1966 sehingga Februari 2015 melibatkan peserta-peserta dari semua peringkat umur yang memerlukan intubasi pantas menggunakan rocuronium dan succinylcholine. Dos minimum rocuronium yang diberikan adalah 0.6 mg/kg dan succinylcholine 1 mg/kg. Kami menggabungkan keputusan-keputusan 50 kajian, dengan jumlah peserta sebanyak 4151, yang membandingkan keberkesanan succinylcholine dengan rocuronium keatas keadaan-keadaan intubasi. Tidak terdapat laporan kesan sampingan major daripada penggunaan kedua-dua ubat.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati bahawa rocuronium kurang berkesan berbanding succinylcholine untuk mewujudkan keadaan intubasi yang baik dan boleh diterima. Oleh itu rocuronium hanya boleh dipakai sebagai alternatif kepada succinylcholine apabila diketahui bahawa succinylcholine tidak boleh digunakan dan intubasi berpanjangan adalah dijangka.

Kualiti bukti

Tahap bukti adalah GRADE sederhana kerana rekabentuk kajian yang tak sempurna dan kepelbagaian teknik digunakan dalam kajian-kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan olehTuan Hairulnizam Tuan Kamauzamani (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi hairulnizam@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information