Sedutan kortikosteroid bagi displasia bronkopulmonary

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Adakah sedutan kortikosteroid selepas minggu pertama kehidupan mengurangkan risiko mendapat displasia bronkopulmonari (BPD) dalam bayi pramatang? Ulasan ini melihat kajian yang membandingkan bayi pramatang yang berisiko untuk mendapat BPD selepas minggu pertama kehidupan yang dirawat dengan sedutan kortikosteroid dengan mereka yang dirawat dengan penyedutan plasebo.

Latar belakang

Bayi pramatang mempunyai risiko mendapat penyakit paru-paru kronik atau displasia bronkopulmonari. Radang dalam paru-paru seolah-olah memainkan peranan utama dalam mendapat penyakit BPD. Pemberian ubat-ubatan anti-radang yang dikenali sebagai kortikosteroid, ke dalam aliran darah (secara sistemik) mengurangkan risiko BPD tetapi juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Pemberian kortikosteroid melalui penyedutan terus ke dalam paru-paru boleh mengurangkan kesan sampingan ini.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik mengenal pasti lapan kajian yang menyiasat terapi ini dalam 232 bayi. Walaupun penyelidik menganggap risiko berat sebelah sebagai rendah, sangat sedikit kajian yang melaporkan hasil yang menarik penyelidik.

Keputusan utama

Kajian yang dimasukkan tidak menunjukkan kesan sedutan kortikosteroid yang bermanfaat terhadap kematian atau BPD. Di samping itu, keselamatan sedutan kortikosteroid telah dinilai dalam hanya sejumlah kajian kecil. Berdasarkan keputusan ini, sedutan kortikosteroid dimulakan selepas minggu pertama kehidupan adalah tidak disyorkan untuk bayi pramatang yang berisiko BPD. Lebih banyak kajian diperlukan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah ke sangat rendah bagi semua hasil utama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.