Penyekat saluran kalsium untuk menghalang kelahiran pramatang dan kelahiran

Kelahiran pramatang adalah apabila bayi dilahirkan antara usia 20 dan 36 minggu kehamilan. Bayi-bayi ini umumnya lebih sakit dan kurang berkemungkinan hidup berbanding bayi yang dilahirkan cukup bulan. Bayi pramatang juga lebih berkemungkinan cacat, dan lebih awal mereka dilahirkan lebih kemungkinan mereka akan mempunyai masalah. Penangguhan sekejap kelahiran pramatang boleh memberi kebaikan kepada bayi kerana ini memberi masa untuk ibu mendapat suntikan steroid bagi membantu kematangan paru-paru bayi sebelum dilahirkan. Penangguhan sekejap kelahiran pramatang juga memberi peluang untuk memindahkan ibu, jika diperlukan, ke tempat di mana terdapat penjagaan pakar untuk bayi. Ubat-ubatan yang digunakan untuk mencuba dan menghentikan kelahiran dipanggil tokolitik. Ubat-ubatan yang paling biasa digunakan adalah betamimetika, tetapi penyekat saluran kalsium (CCB) merupakan pilihan lain. CCBs biasanya digunakan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi, tetapi ia juga dapat mengurangkan pengecutan rahim. Kami melihat kepada keberkesanan CCB dalam menangguhkan kelahiran dan memberi kebaikan kepada bayi, dan juga sama ada CCB lebih baik daripada betamimetika dan jenis tokolitik lain yang digunakan untuk menangguhkan kelahiran pramatang dan kelahiran.

Kami menjumpai 38 kajian yang melibatkan 3550 wanita, ada yang membandingkan CCB (terutamanya nifedipine) tanpa tokolitik dan yang lain membandingkan CCB dengan tokolitik. Kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini dianggap mempunyai kualiti yang memuaskan. Kami mendapati bahawa CCB, khususnya nifedipine, adalah lebih baik daripada tiada tokolitik untuk menunda kelahiran pramatang selama 48 jam yang boleh membantu memberi kebaikan kepada bayi. Berbanding betamimetika, CCB lebih berkesan dalam menangguhkan kelahiran, mempunyai kesan sampingan yang sedikit terhadap wanita, dan memberi kebaikan jangka pendek yang penting bagi bayi (kesukaran bernafas, jangkitan usus, dan kemasukan ke unit penjagaan khas). Penyekat saluran kalsium adalah lebih baik daripada jenis tokolitik lain untuk beberapa hasil sahaja. Antagonis reseptor oxytocin (ORAs) mempunyai kurang kesan sampingan terhadap wanita berbanding CCB, tetapi ORA tidaklah begitu baik dalam mengurangkan kelahiran pramatang. Sejenis CCB yang lain, nicardipine, hanya digunakan dalam tiga kajian, tetapi tidak lebih berkesan berbanding tokolitik lain. Hasil jangka panjang pada bayi dan semasa kanak-kanak tidak dapat dinilai kerana kekurangan maklumat. Secara umum, CCB adalah lebih berkesan daripada betamimetika, tetapi hanya kadang-kadang lebih berkesan daripada jenis tokolitik lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information