Pengurusan ubat untuk sawan tonik-klonik akut ("fits") termasuk sawan status epileptikus dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk menilai sama ada penggunaan pelbagai ubat antikonvulsan yang diberi dengan laluan pemberian yang berbeza, memberi impak kepada kepantasan sesuatu sawan tonik-klonik akut (fit) boleh dihentikan. Ulasan ini juga menyiasat sama ada ubat antikonvulsan yang berlainan disertai dengan kesan sampingan yang kurang kerao atau berbeza.

Latar belakang

Sawan tonik-klonik dan sawan status epileptikus adalah kecemasan perubatan. Dalam kalangan kanak-kanak, ubat antikonvulsan pertama biasanya diberi di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A & E) di hospital. Ubat ini boleh diberi dalam beberapa cara, termasuk ke dalam vena (intravena), ke dalam mulut dan di antara pipi (bukal), ke dalam hidung (intranasal) atau ke dalam rektum (rektal). Ubat pilihan pertama harus berkesan, cepat berfungsi dan tidak dikaitkan dengan sebarang kesan buruk yang serius. Penyelidikan adalah penting untuk mencuba dan mencari ubat antikonvulsan yang paling berkesan dan paling selamat dalam situasi klinikal ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mengulas semua bukti sedia ada yang relevan mengenai keberkesanan dan keselamatan ubat antikonvulsan yang diguna bagi rawatan utama sawan tonik-klonik dalam kalangan kanak-kanak yang hadir ke jabatan A&E hospital. Ulasan ini mengkaji data dari 18 kajian rawak terkawal (RCT); RCT menyediakan bukti yang paling dipercayai. Mereka menyiasat penggunaan pelbagai ubat antikonvulsan yang diberi dengan laluan yang berbeza.

Keputusan utama

Ulasan ini memasukkan 18 RCT yang melibatkan 2199 kanak-kanak, dan menyiasat pelbagai ubat antikonvulsan, dos ubat dan laluan pemberian ubat. Kajian-kajian tersebut juga mempunyai beberapa perbezaan dalam reka bentuk, persekitaran dan populasi kanak-kanak yang dimasukkan, dari segi usia dan situasi klinikal (seperti tempoh sawan yang telah berlaku ketika mereka direkrut ke dalam kajian).

Analisis dua kajian tidak menemui bukti yang jelas tentang kesan yang berlainan antara lorazepam intravena dan diazepam intravena dalam menghentikan sawan tonik-klonik yang dibawa ke Jabatan Kecemasan. Terdapat ketidakpastian sama ada midazolam bukal lebih berkesan daripada diazepam rektal sebagai pengurusan pertama sawan tonik-klonik atau sawan status epileptikus apabila tiada akses intravena. Tiada bukti kukuh bahawa laluan intranasal adalah sama berkesan dengan laluan intravena. Oleh itu tiada bukti bahawa ia boleh digunakan sebagai laluan pemberian alternatif.

Walaupun ubat-ubatan seperti midazolam, lorazepam dan paraldehid dapat mengurangkan kadar pernafasan, ini bukan komplikasi lazim dan tidak sering dilihat dalam kajian-kajian yang dimasukkan. Kadar kesan sampingan serius terhadap ubat-ubatan ini pada umumnya adalah sangat rendah.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian menggunakan ubat yang berlainan, dos yang berbeza dan laluan pemberian yang berlainan. Ini perlu diambil kira apabila melihat kesimpulan keseluruhan ulasan ini. Kebanyakan kajian berlaku di hospital kanak-kanak yang besar atau di jabatan kanak-kanak yang besar di hospital umum. Ini bermakna keputusan yang didapati dalam ulasan ini mungkin relevan untuk situasi klinikal yang serupa di seluruh dunia.

Kualiti bukti yang disediakan dalam ulasan ini adalah dari tahap yang sangat rendah hingga tinggi. Kualiti bukti yang diberi untuk beberapa hasil adalah rendah hingga sangat rendah, kerana keputusan tidak tepat di mana maklumat terhad yang tersedia untuk analisis. Terdapat juga kevariabelan dan masalah dalam reka bentuk beberapa kajian, yang mungkin telah mempengaruhi penemuan. Kualiti bukti adalah lebih rendah dalam beberapa persekitaran kajian, oleh itu keputusan-keputusan mungkin tidak dapat mencerminkan amalan klinikal seluruh dunia.kurang

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save