Diet protein rendah untuk orang dewasa bukan diabetik dengan penyakit buah pinggang kronik

Apakah isunya?

Pelbagai bentuk penyakit buah pinggang boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang di mana orang yang terlibat akhirnya memerlukan rawatan dialisis. Diet protein rendah boleh disyorkan untuk melambatkan progresi penyakit buah pinggang hingga kegagalan buah pinggang. Kami masih tidak tahu sama ada diet protein rendah boleh melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang dan menangguhkan keperluan untuk memulakan dialisis.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari Daftar Khusus Buah Pinggang dan Pemindahan Cochrane hingga 7 September 2020 untuk kajian rawak terkawal (RCT), yang mendaftarkan pesakit dewasa bukandiabetik dengan penyakit buah pinggang kronik, yang belum lagi memerlukan dialisis, dan membandingkan pengambilan pelbagai diet protein, termasuk sangat rendah (0.3 hingga 0.4 g/kg/d), rendah (0.5 hingga 0.6g/kg/d) atau pengambilan protein biasa (≥ 0.8 g/kg/d) selama 12 bulan atau lebih.

Apa yang kami temui?

Kami menilai bukti dari 17 kajian (21 set data) melibatkan 2996 orang dengan gangguan fungsi buah pinggang. Kami mendapati bahawa diet protein yang sangat rendah berbanding pengambilan protein yang rendah atau normal mungkin mengurangkan bilangan orang dengan kegagalan buah pinggang lanjutan, yang progresi ke dialisis. Apabila diet protein rendah dibandingkan dengan diet protein biasa, terdapat sedikit perbezaan dalam bilangan orang yang mengalami kegagalan buah pinggang yang kurang teruk, yang berkembang ke dialisis. Kesan sampingan diet protein rendah seperti penurunan berat badan adalah jarang tetapi banyak kajian tidak melaporkan kesan sampingan.

Kesimpulan

Dalam kalangan orang dengan kegagalan buah pinggang, pengambilan protein yang sangat rendah mungkin melambatkan progresi kepada kegagalan buah pinggang. Walau bagaimanapun, kami memerlukan lebih banyak maklumat mengenai kesan sampingan diet protein rendah dan sama ada kualiti hidup dikurangkan kerana kesukaran untuk mengekalkan diet sedemikian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information