Apakah pleurisi tuberkulosis dan bagaimana kortikosteroid berkesan?

Pleurisi tuberkulosis berlaku akibat keradangan membran yang meliputi paru-paru (pleura) disebabkan oleh pendedahan kepada Mikobakterium tuberkulosis bakteria yang menjangkiti paru-paru. Ini mengakibatkan pengumpulan cecair di sekitar paru-paru (efusi pleura) yang menyebabkan sakit dan demam, menjejaskan pernafasan, dan mungkin membawa kepada gangguan fungsi paru-paru jangka panjang.

Sesetengah doktor percaya bahawa kortikosteroid yang diguna dalam kombinasi dengan ubatan antituberkulosis boleh mempercepatkan kesembuhan daripada pleurisi TB dan membantu mencegah komplikasi jangka panjang.

Apakah yang ditunjukkan oleh bukti

Kami menilai bukti sedia ada sehingga 13 April 2016 dan memasukkan enam kajian dengan 590 orang, yang menilai prednisolon yang diberi bersama dengan rawatan antituberkulos (ATT). Satu kajian yang dimasukkan adalah berkualiti tinggi, namun yang lain tidak pasti tentang kualiti kajian. Semua kajian yang dimasukkan adalah dalam kalangan dewasa; satu kajian hanya menyertakan orang HIV-positif, dua menyertakan hanya orang HIV-negatif, dan tiga kajian tidak melaporkan status HIV peserta.

Kortikosteroid boleh mengurangkan masa untuk resolusi simptom pleurisi TB dan masa untuk resolusi efusi pleura dalam X-ray dada (bukti kepastian rendah). Kortikosteroid juga boleh mengurangkan risiko mendapat tanda parut pleura dalam X-ray dada (penebalan pleura dan pelekatan pleura) selepas penyakit telah sembuh (bukti kepastian rendah) Tiada cukup maklumat tentang fungsi paru-paru untuk memastikan sama ada kortikosteroid mengurangkan risiko gangguan fungsi paru-paru selepas pleurisi TB (bukti kepastian sangat rendah).

Kortikosteroid boleh meningkatkan risiko peristiwa buruk yang membawa kepada pemberhentian ubat (bukti kepastian rendah). Daripada satu kajian dalam kalangan orang dengan HIV, tiada peningkatan dikesan di dalam keadaan-keadaan berkaitan HIV dengan kortikosteroid, walaupun kes Kaposi sarcoma hanya dilihat dalam kumpulan kortikosteroid dan bilangan peserta dan peristiwa adalah terlalu kecil untuk mengecualikan kesan kortikosteroid (bukti kepastian sangat rendah).

Oleh kerana risiko ketidakupayaan dan penyakit jangka panjang selepas pleurisi TB adalah tidak jelas, penyelidikan yang melihat kepada kaitan antara pleurisi TB dan gangguan fungsi paru-paru adalah berguna untuk memaklum penyelidikan masa hadapan kortikosteroid untuk pleurisi TB.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information