Adakah pemakanan dan strategi aktiviti fizikal membantu mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak (berusia 0 hingga 18 tahun)?

Latar belakang

Semakin ramai kanak-kanak mengalami berat berlebihan dan obesiti di seluruh dunia. Berat berlebihan pada kanak-kanak boleh menyebabkan masalah kesihatan, dan mereka mungkin boleh terjejas secara psikologi dan dalam kehidupan sosial. Kanak-kanak dengan berat badan berlebihan juga berpotensi menjadi berat berlebihan ketika dewasa dan terus mengalami kesihatan fizikal dan mental yang lemah.

Mencari kajian-kajian

Kami mencari banyak pangkalan data saintifik bagi kajian-kajian yang melihat kepada cara-cara pencegahan obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Kami telah memasukkan kajian yang mensasarkan kanak-kanak dalam semua peringkat umur. Kami hanya memasukkan kajian jika kaedah yang mereka gunakan bertujuan untuk mengubah pemakanan kanak-kanak, atau tahap aktiviti fizikal mereka atau kedua-duanya. Kami hanya melihat kajian-kajian yang mengandungi maklumat terbaik untuk menjawab soalan ini, ‘kajian rawak terkawal’ atau RCTs.

Apa yang kami temui

Kami telah menjumpai 153 kajian rawak terkawal. Kajian adalah berpusat di negara-negara berpendapatan tinggi seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah lain walaupun 12% kajian adalah di negara-negara berpendapatan sederhana (Brazil, Ecuador, Mesir, Lebanon, Mexico, Thailand dan Turki). Lebih separuh kajian-kajian rawak terkawal (56%) telah mencuba strategi untuk mengubah pemakanan atau tahap aktiviti kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun, suku daripadanya untuk kanak-kanak berusia 0 hingga 5 tahun dan satu perlima (20%) adalah untuk remaja berusia 13 hingga 18 tahun. Strategi-strategi telah digunakan dalam persekitaran yang berbeza seperti di rumah, prasekolah atau sekolah dan kebanyakan daripadanya mensasar ke arah cubaan untuk mengubah tingkah laku individu.

Adakah ianya berkesan

Satu cara yang diterima secara meluas untuk menilai jika seorang kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan adalah dengan mengira skor berdasarkan tinggi dan berat mereka, dan mengaitkan ini dengan berat dan tinggi kebanyakan kanak-kanak seusia di negara mereka. Ini dipanggil sebagai skor zBMI. Kami telah menjumpai 61 kajian rawak terkawal melibatkan lebih 60,000 kanak-kanak, yang melaporkan skor zBMI. Kanak-kanak berusia 0 hingga 5, dan kanak-kanak berusia 6 hingga 12 yang telah dibantu dengan strategi untuk mengubah pemakanan atau tahap aktiviti mereka, menunjukkan pengurangan dalam skor zBMI sebanyak 0.07 dan 0.04 unit masing-masing, berbanding kanak-kanak yang tidak diberikan sebarang strategi. Ini bermakna kanak-kanak ini telah dapat mengurangkan berat badan mereka. Perubahan dalam zBMI ini, apabila diberikan kepada ramai kanak-kanak merentas seluruh populasi, adalah berguna kepada kerajaan dalam usaha menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Strategi untuk mengubah pemakanan atau aktiviti fizikal, atau kedua-duanya sekali, tidak berjaya mengurangkan zBMI dalam remaja dan golongan belia berusia 13 hingga 18 tahun.

Kami memerhati untuk melihat jika strategi ini cenderung menghasilkan kesan sama rata terhadap semua kanak-kanak, misalnya kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki, kanak-kanak dengan latar belakang kaya atau kurang kaya, kanak-kanak dengan latar belakang perbezaan bangsa. Tidak banyak kajian rawak terkawal yang melaporkan perkara ini, tetapi bagi yang melaporkan, tidak ada tanda bahawa strategi ini meningkatkan ketidaksamaan. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui cukup kajian rawak terkawal dengan maklumat ini untuk membantu menjawab soalan ini. Kami juga memerhati sekiranya kanak-kanak telah dimudaratkan dengan strategi ini, misalnya dengan kecederaan, kehilangan terlalu banyak berat badan atau mengakibatkan pandangan yang merosakkan diri sendiri dan berat badan mereka. Tidak banyak kajian rawak terkawal yang melaporkan kejadian ini, namun bagi yang melaporkan, tidak ada sebarang kemudaratan dilaporkan terhadap kanak-kanak yang diberikan strategi untuk mengubah pemakanan atau aktiviti fizikal mereka.

Kami telah melihat bagaimana kajian rawak terkawal dilaksanakan sekiranya terdapat kemungkinan bias. Kami memutuskan untuk menurun taraf beberapa maklumat berdasarkan penilaian ini. Kualiti bukti adalah ‘sederhana’ untuk zBMI kanak-kanak berusia 0 hingga 5 tahun, ‘rendah’ bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun dan sederhana bagi remaja-remaja (13 hingga 18 tahun).

Kesimpulan kami

Strategi untuk mengubah pemakanan atau tahap aktiviti, atau kedua-duanya sekali, dalam kalangan kanak-kanak untuk membantu mengelakkan mereka menjadi berlebihan berat badan atau obes adalah efektif bagi pengurangan skor zBMI secara sederhana untuk kanak-kanak berusia 0 hingga 5 tahun dan kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun. Ini mungkin berguna kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang prihatin tentang kanak-kanak menjadi berlebihan berat badan. Ini juga mungkin berguna kepada kerajaan, dalam usaha menangani corak peningkatan kanak-kanak menjadi obes atau berlebihan berat badan. Kami mendapati kurang bukti untuk remaja dan anak-anak muda berusia 13 hingga 18 tahun, dan strategi yang diberikan tidak mengurangkan skor zBMI mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Adila Binti Azman (Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan, UIAM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi adilaazman68@gmail.com

Tools
Information
Share/Save