Rawatan antiviral untuk Bell's palsi

Terjemahan ini tidak kemaskini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan Sistematik ini.

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti-bukti kesan rawatan antivirus bersendirian atau dengan gabungan mana-mana rawatan lain untuk Bell's palsi.

Latar belakang

Bell's palsi adalah penyakit urat saraf muka yang menyebabkan kelumpuhan separuh muka. Beberapa kajian telah mencadangkan bahawa penyakit ini disebabkan oleh jangkitan virus yang menyebabkan kudis sejuk (herpes simplex) atau kayap (varicella zoster). Jika ini betul, rawatan antivirus tersebut akan membantu pemulihan semula. Kelumpuhan tersebut selalunya hanya berlaku untuk sementara waktu walaupun tanpa apa-apa rawatan. Namun, satu daripada lima individu akan mengalami kecacatan muka atau sakit jika tiada rawatan diberi. Ulasan kajian Cochrane telah mengesahkan keberkesanan kortikosteroid untuk Bell's palsi. Ulasan ini telah diterbitkan pada tahun 2001 dan telah mengalami beberapa semakan, dengan versi tahun 2009 merupakan semakan yang terbaru. Versi ini menggantikan kemas-kini Isu ke-7 Perpustakaan Cochrane yang ditarik balik kerana siasatan terhadap kebolehpercayaan data dalam satu kajian yang disertakan dalam isu tersebut.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenal pasti 10 kajian yang merangkumi 2280 peserta dengan Bell's palsi sebelah muka sahaja yang mempunyai tahap ringan, sederhana atau teruk tanpa sebab lain. Umur perserta adalah merangkumi 14 ke 84 tahun. Kajian-kajian telah membandingkan kombinasi antivirus dengan kortikosteroid; antivirus sahaja dengan plasebo atau tiada rawatan; antivirus sahaja dengan kortiosteroid sendiri; dan kombinasi antivirus dengan kortikosteroid kepada plasebo atau tiada rawatan. Tempoh kajian yang disertakan adalah di antara tiga bulan sehingga 12 bulan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Pemulihan yang tidak lengkap

Berdasarkan kualiti-bukti yang rendah, kombinasi antivirus dengan kortokosteroid meningkatkan kadar pemulihan Bell's palsi yang tidak lengkap daripada Bell palsy berbanding jika dibandingkan dengan rawatan kortikosteroid sahaja. Penemuan ini adalah berdasarkan 8 kajian melibatkan 1315 orang yang mengalami Bell's palsi pelbagai peringkat.

Kami telah berjaya menggunakan data daripada empat kajian (478 peserta) yang mangkaji kesan rawatan terhadap Bell's palsi tahap teruk (pesakit yang mengalami kelumpuhan muka lengkap atau hampir lengkap). Keputusan daripada kumpulan ini menunjukkan bahawa, penambahan rawatan antivirus dengan kortikosteroid mungkin meningkatkan kadar pemulihan tidak lengkap jika dibandingkan dengan rawatan kortikosteroid sendiri, walaupun kami menilai bukti sebagai berkualiti rendah.

Dalam analisis yang lain, kami mendapati perkara-perkara berikutnya:

• kortikosteroid sahaja adalah lebih berkesan daripada antivirus dari segi pemulihan tidak lengkap (768 peserta);

• kombinasi antivirus dan kortikosteroid lebih berkesan daripada plasebo atau tiada rawatan (658 peserta; dan

• antivirus sahaja kurang berkesan apabila dibandingkan dengan placebo (namun, perbezaan ini tidak ketara) (658 peserta).

Kesan jangka panjang selepas Bell's palsi

Tiga ujian (941 peserta) menilai kesan jangka panjang Bell's palsi, seperti pengeluaran air mata yang berlebihan dan sinkinesis (pergerakan otot diluar kawalan semasa pergerakan sengaja). Kombinasi antivirus dan kortikosteroid boleh mengurangkan kesan jangka panjang Bell's palsi apabila dibandingkan dengan kortikosteroid sahaja. Bukti-bukti ini mempunyai kualiti yang sederhana.

Kesan jangka panjang Bell's palsi dilihat selepas dirawati dengan kortikosteroid sahaja adalah kurang apabila dibandingkan dengan rawatan antivirus sahaja (2 ujian, 472 perserta).

Kejadian-kejadian buruk

Berdasarkan bukti-bukti daripada tiga ujian (1528 peserta), tiada satupun daripada mana-mana rawatan tersebut menunjukan perbezaan yang ketara dari segi kejadian-kejadian buruk, sambil mengambil kira bahawa kualiti bukti-bukti yang ada rendah.

Bukti dalam kajian ini adalah terbaharu sehingga Oktober 2014.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohd Afiq Mohd Slim (Northern Ireland Medical and Dental Training Agency) (NIMDTA). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi chain1993@yahoo.com.

Share/Save