Antibiotik untuk trakoma

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika antibiotik berfungsi untuk merawat, sama ada dalam individu atau komuniti. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui 26 kajian.

Mesej utama
Ulasan menunjukkan rawatan antibiotik untuk orang dan komuniti dengan trakoma menjurus kepada kurang jangkitan mata akibat trakoma dan kurang penyakit mata. Rawatan komuniti secara besar-besaran dengan antibiotik dikaitkan dengan peningkatan rintangan antimikrobial.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Trakoma adalah disebabkan oleh sejenis jangkitan bakteria pada mata luar yang mana, jika tidak dirawat, boleh menyebabkan buta. Kuman ini dikenali sebagai Chlamydia trachomatis, yang hidup subur apabila kurang air dan higin yang buruk. Trakoma adalah penyebab lazim kehilangan penglihatan dan sering mempengaruhi orang yang tinggal di komuniti miskin. Konjunktivitis berulang (keradangan membran yang menutupi permukaan bola mata dan di dalam kelopak mata) yang dikenali sebagai 'trakoma aktif' yang disebabkan oleh jangkitan mata ini boleh menyebabkan bahagian atas kelopak mata terlipat ke dalam. Bulu mata menggosok bahagian hadapan mata yang jernih (kornea) menyebabkan sakit, parut, dan buta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membangunkan strategi SAFE untuk menghapuskan trakoma.

Spembedahan untuk kelopak mata yang terlipat ke dalam
Aantibiotik untuk mengawal jangkitan mata
Fkebersihan muka untuk menghentikan jangkitan mata
Epenambahbaikan alam sekitar, khususnya air bersih dan sanitasi

Kajian ini menganggap bahagian A strategi SAFE. Antibiotik boleh digunakan untuk merawat jangkitan mata dan boleh diberi sebagai salap atau melalui mulut. Kedua-dua antibiotik yang lazim diguna untuk rawatan trakoma adalah azithromycin (dos tunggal melalui mulut) dan tetracycline (salap yang disapu di mata selama beberapa minggu).

Apakah keputusan utama ulasan?
Penyelidik Cochrane mendapati 26 kajian yang relevan.

Empat belas kajian mendaftar orang dengan trakoma. Kajian-kajian ini dilaksana di wilayah-wilayah WHO berikut (satu kajian berlaku di dua wilayah): Wilayah Afrika (tiga kajian), Wilayah Mediterranean Timur (lima kajian), Wilayah Amerika (empat kajian), Wilayah Asia Tenggara (satu kajian), dan Wilayah Pasifik Barat (dua kajian). Kebanyakan kajian mendaftarkan kanak-kanak dan remaja dengan trakoma aktif.

Kajian-kajian tersebut menunjukkan:

⇒ orang dengan trakoma yang dirawat dengan antibiotik mungkin mempunyai kurang trakoma aktif dan jangkitan mata pada tiga dan 12 bulan selepas rawatan (bukti kepastian rendah);

⇒ mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dalam trakoma aktif di antara antibiotik oral dan topikal pada tiga bulan dan 12 bulan (bukti kepastian rendah) tetapi hanya ada bukti kepastian sangat rendah terhadap jangkitan mata pada tiga dan 12 bulan;

⇒ tiada laporan kesan buruk yang serius. Kesan buruk yang paling lazim dilaporkan adalah loya dengan azithromycin.

Dua belas kajian mendaftarkan komuniti di kawasan-kawasan trakoma yang lazim dan seluruh komuniti dirawat ('rawatan massa'). Kajian-kajian ini berlangsung terutama di Wilayah Afrika (10 kajian), dengan satu kajian di Wilayah Mediterranean Timur (Mesir) dan satu kajian di Wilayah Pasifik Barat (Vietnam).

Kajian-kajian tersebut menunjukkan:

⇒ komuniti yang dirawat dengan azithromycin mempunyai kurang trakoma (trakoma aktif dan jangkitan mata) 12 bulan selepas rawatan dos tunggal (bukti kepastian sederhana);

⇒ tiada bukti kukuh untuk menyokong perubahan dari strategi terkini saranan rawatan massa komuniti yang terjejas setiap tahun;

⇒ terdapat peningkatan risiko rintangan antimikrobial dalam komuniti yang dirawat (bukti kepastian tinggi).

Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 4 Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save