Vaksin profilaksis selepas pendedahan untuk mencegah varicella (cacar air)

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai betapa berguna vaksin varicella (juga dikenali sebagai cacar air) dalam pencegahan cacar air apabila diberikan kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak pernah mendapat imunisasi atau pernah menghidapi cacar air, tetapi menerima vaksin dalam masa yang singkat berikutan pendedahan kepada seseorang yang dijangkiti cacar air. Varicella adalah jangkitan virus yang sangat mudah berjangkit dan dicirikan oleh ruam berair, demam, dan berasa tidak sihat secara umumnya . Kami mengenal pasti tiga kajian yang melibatkan 110 kanak-kanak sihat yang merupakan adik beradik isi rumah menghidapi cacar air.

Latar belakang

Walaupun kebanyakan kes cacar air adalah ringan, komplikasi seperti jangkitan bakteria sekunder, komplikasi sistem saraf dan masalah lain yang berlaku dalam sekurang-kurangnya 1% daripada kes-kes cacar air, dan ini biasanya mengakibatkan kemasukan ke hospital. Virus yang boleh menyebabkan cacar air juga kekal tidak aktif pada akar saraf deria selepas jangkitan dan boleh menjadi aktif pada kemudian hari sebagai ruam lepuh yang sakit, dikenali sebagai herpes zoster atau kayap.

Cacar air boleh dicegah melalui imunisasi dengan vaksin varicella hidup yang dilemahkan. Walaubagaimanapun, kebanyakan negara belum membiayai program imunisasi rutin berasaskan populasi dan pendedahan kepada cacar air masih perkara biasa. Malah dalam kalangan populasi yang sudah mendapat vaksinasi, wabak masih boleh berlaku, khususnya dalam persekitaran sekolah dan pengasuhan kanak-kanak.

Keputusan utama

Persoalan cara mengelakkan penyakit cacar air dalam orang dewasa atau kanak-kanak yang telah mempunyai pendedahan dengan seseorang yang menghidapi penyakit cacar air ini telah membawa kepada kajian vaksin varicella dalam latar ini. Ulasan ini menilai kajian yang diterbitkan sehingga Mac 2014 dan mendapati tiga kajian berasingan yang menyiasat keberkesanan pemberian vaksin varicella sebagai profilaksis kepada kanak-kanak yang tiada imunisasi selepas pendedahan dalam isi rumah kepada adik-beradik yang mendapat cacar air, berbanding dengan plasebo. Secara keseluruhannya, 13 daripada 56 (18%) penerima vaksin mendapat cacar air berbanding dengan 42 daripada 54 (78%) penerima plasebo (atau tiada vaksin). Kajian-kajian ini menyokong pemberian vaksin varicella kepada kanak-kanak, terutamanya jika diberikan dalam tempoh tiga hari selepas pendedahan kepada kes cacar air. Walaupun cacar air yang ringan masih mungkin berlaku dalam sesetengah kes, vaksin ini mungkin boleh mengelakkan kes-kes cacar air yang sederhana hingga teruk.

Kualiti bukti

Bilangan peserta yang kecil dalam ketiga-tiga kajian menjadi kekurangan ulasan ini. Kualiti kajian yang terlibat adalah berbeza, dan ini turut mengehadkan keyakinan dalam keputusan. Tiada kajian seperti ini yang dilaksanakan pada orang dewasa, dan tiada kajian memberi komen mengenai kesan sampingan berikutan imunisasi, seperti demam atau tindak balas tempat suntikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save