Ubat agonis beta 2 untuk merawat batuk atau diagnosis klinikal bronkitis akut

Latar belakang

Bronkitis akut merupakan jangkitan paru-paru, dengan batuk dan kadang-kadang penghasilan kahak, sakit dada dan demam. Pesakit yang terjejas rasa tidak selesa dan untuk mereka yang tidak mempunyai asma atau penyakit paru-paru kronik, tiada rawatan yang jelas wujud. VIrus adalah penyebab kebanyakan kes bronkitis, jadi antibiotik biasanya tidak membantu. Agonis beta 2 (seperti albuterol atau salbutamol) merupakan ubat yang melegakan asma dengan mengendurkan otot yang menyebabkan penyempitan saluran ke paru-paru. Ia kadang-kadang digunakan untuk melegakan batuk dalam bronkitis akut, juga dalam pesakit yang tidak mempunyai asma.

Soalan ulasan

Apakah manfaat dan bahaya ubat agonis beta 2 untuk kanak-kanak atau orang dewasa dengan batuk daripada bronkitis akut, dan tiada penyakit paru-paru yang lain?

Ciri-ciri Kajian

Pencarian kami adalah terkini sehingga Mei 2015. Kami tidak menjumpai kajian baru. Dalam carian sebelumnya, kami menjumpai tujuh kajian rawak terkawal yang menggunakan ubat agonis beta 2 untuk pesakit dengan bronkitis akut. Dua kajian mengkaji kanak-kanak berumur satu sehingga 10 tahun (134 peserta) dan lima dijalankan dalam kalangan orang dewasa (418 peserta). Tiada kajian melaporkan penerimaan geran daripada syarikat penghasilan ubat untuk menjalankan kajian, tetapi orang yang bekerja untuk pengilang ubat disenaraikan sebagai pengarang dalam laporan daripada dua kajian dan ubat kajian dibekalkan percuma daripada syarikat dalam tiga kajian.

Keputusan utama

Skor batuk harian tidak berbeza antara kanak-kanak yang diberi agonis beta2 oral dan kanak-kanak dalam kumpulan kawalan plasebo. Skor batuk harian, atau bilangan pesakit yang masik batuk selepas tujuh hari, tidak berubah dalam kajian orang dewasa juga.

Walaubagaimanapun, keputusan adalah bercampur. Sesetengah kajian menunjukkan manfaat dan sesetengah tidak. Ini mungkin disebabkan sesetengah peserta juga mengalami bunyi berdehit atau gejala penyempitan saluran pernafasan yang lain, di mana agonis beta 2 mungkin dapat membantu untuk mereka. Kebanyakan orang dewasa yang mengambil agonis beta 2 mengalami keadaan terketar ketar, menggeletar atau perasaan gementar.

Kualiti bukti

Kami menilai ini sebagai rendah atau sederhana. Beberapa kajian wujud, dengan bilangan kecil pesakit dengan bronkitis akut atau batuk. Kajian-kajian tersebut bertempoh pendek (tiga ke tujuh hari) dan hanya dua menggunakan agonis beta 2 sedutan, yang sekarang merupakan kaedah biasa ubat tersebut diambil oleh orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua. Sesetengah maklumat penting mengenai bagaimana kajian dijalankan tidak dilaporkan dalam kertas yang memberikan keputusan untuk kebanyakan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information