Salina hipertonik (air garam dengan paling kurang 3% garam) disembur sebagai kabus halus melalui topeng atau corong mulut untuk fibrosis sistik

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk rawatan salina hipertonik semburan berbanding plasebo atau agen lain untuk memperbaiki klearans lendir di paru-paru orang dengan fibrosis sistik (CF).

Latar belakang

Orang dengan CF menghasilkan banyak lendir tebal yang susah dibersihkan dan menyumbat saluran pernafasan. Fisioterapi dada atau ubatan contohnya salina hipertonik, atau gabungan kedua-duanya, digunakan untuk cuba membersihkan lendir tersebut daripada saluran pernafasan. Salina hipertonik adalah air dengan kepekatan 3% hingga 7% garam dan disedut dalam bentuk kabus halus. Ini adalah kemaskini ulasan terdahulu.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 08 Ogos 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 17 kajian dengan 966 peserta CF berumur antara 4 bulan dan 63 tahun. 11 kajian membandingkan salina hipertonik dengan salina isotonik (air dengan 0.12 hingga 0.9% garam (sebagai plasebo (rawatan palsu)); satu kajian membandingkan salina isotonik dan batuk voluntari dengan salina hipertonik atau mannitol 300 mg; tiga kajian membandingkan salina hipertonik dengan rhDNase (Pulmozyme®); satu kajian membandingkan salina hipertonik dengan amiloride; dan satu kajian membandingkan salina hipertonik dengan Mistabron®. Kajian-kajian menilai pelbagai kepekatan salina hipertonik dengan penebula berbeza dan jadual rawatan berbeza; rawatan yang paling lazim adalah 7% salina hipertonik dua kali sehari dan penebula paling lazim diguna adalah ultrasonik. Kebanyakan kajian merawat orang dengan bronkodilator untuk meluaskan saluran pernafasan sebelum memberi salina hipertonik.

Keputusan-keputusan utama

Salina hipertonik 3% hingga 7% berbanding plasebo

Di dalam tiga kajian (225 orang) fungsi paru-paru bertambah baik selepas empat minggu, tetapi hanya satu kajian (164 pesakit) melaporkan keputusan selepas 48 minggu, dan menunjukkan tiada perbezaan dalam fungsi paru-paru. Tiada kematian dilaporkan. Satu kajian dalam kalangan dewasa melaporkan kurang eksaserbasi yang memerlukan antibiotik dengan salina hipertonik berbanding plasebo, tetapi satu kajian dalam kalangan kanak-kanak tidak mendapati perbezaan dalam hasil ini. Tiada cukup maklumat untuk menilai dengan tepat peristiwa buruk seperti batuk, keketatan dada, tonsilitis dan muntah. Di dalam empat kajian (80 peserta) klearans kahak adalah lebih baik dengan salina hipertonik.

Satu kajian melibatkan 132 orang dewasa dengan eksaserbasi melaporkan kesan tidak pasti salina hipertonik dalam fungsi paru-paru jangka pendek dan masa sehingga eksaserbasi seterusnya selepas discaj dari hospital. Tiada kematian dilaporkan. Kesan-kesan sampingan seperti batuk dan berdehit dilaporkan, tetapi tiada kesan sampingan serius.

Salina hipertonik berbanding rawatan mobilisasi lendir

Kami dapat menganalisis data bagi dua daripada tiga kajian yang membandingkan salina hipertonik dengan rhDNase (61 peserta). Dalam satu kajian, tiada perbezaan wujud dalam fungsi paru-paru pada tiga minggu, tetapi kajian kedua melaporkan rhDNase membawa kepada peningkatan fungsi paru-paru yang lebih baik pada 12 minggu dalam kalangan orang dengan penyakit yang sederhana hingga teruk. Satu kajian (47 peserta) melaporkan tiada perbezaan dalam bilangan eksaserbasi, tetapi batuk bertambah dengan salina hipertonik berbanding rhDNase. Tiada cukup maklumat untuk menilai kesan-kesan sampingan lain. Tiada kematian dilaporkan.

Satu kajian (12 peserta) membandingkan salina hipertonik dengan amiloride dan satu kajian (n=29) dengan Mistabron®. Kedua-dua kajian tidak mendapati perbezaan antara rawatan dalam sebarang ukuran klearans kahak. Kajian yang membandingkan salina hipertonik dan Mistabron® turut melaporkan tiada perbezaan dalam bilangan dos antibiotik dipreskrib atau dalam kesan-kesan sampingan.

Kajian yang membandingkan salina hipertonik dengan mannitol (12 peserta) tidak melaporkan fungsi paru-paru pada titik masa relevan bagi ulasan ini; tiada perbezaan dalam klearans kahak, tetapi mannitol dilaporkan lebih ‘merengsakan’.

Kualiti bukti

Risiko bias akibat tiada pemilihan rawak untuk menerima pelbagai rawatan atau akibat tidak semua keputusan dilaporkan, adalah rendah hingga tidak pasti, tetapi terdapat risiko tinggi bahawa peserta mengetahui rawatan yang diterima dalam separuh dari kajian-kajian tersebut kerana mereka boleh merasa perbezaan antara larutan-larutan.

Kualiti bukti adalah rendah ke sangat rendah. Selain risiko bias, masalah utama adalah bilangan kecil peserta dalam kajian, digabung dengan variasi luas dalam keputusan; juga sesetengah kajian mengehadkan peserta kepada mereka yang toleran salina hipertonik atau kepada kumpulan umur tertentu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail. (Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com