Vaksin aselular (acellular) untuk mencegah batuk kokol (pertusis) dalam kalangan kanak-kanak

Soalan semakan
Kami bertujuan menjawab persoalan sama ada vaksin pertusis asellular berkesan sebagaimana vaksin sel seluruh dalam melindungi kanak-kanak daripada batuk kokol (pertusis), tetapi dengan kesan sampingan yang semakin kurang.

Latarbelakang
Batuk kokol boleh menjadi jangkitan pernafasan yang serius dalam kanak-kanak yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis (B. pertussis). Vaksin yang dibuat daripada seluruh B. pertussis yang dimatikan, dikenali sebagai vaksin sel seluruh pertusis, boleh menyebabkan gangguan neurologi yang teruk dan kesan sampingan yang ringan, seperti tiada selera makan, mengantuk, demam, keresahan, tangisan berpanjangan, muntah-muntah dan kesakitan/kemerahan/bengkak/pengerasan di tempat suntikan. Ini membawa kepada penurunan dalam kadar imunisasi, yang menyebabkan peningkatan bilangan kes batuk kokol. Vaksin pertusis aselular (yang mengandungi antigen B. pertussis yang ditulenkan) telah dibangunkan dengan harapan ia akan berkesan sebagaimana sel seluruh vaksin pertusis tetapi lebih selamat.

Tarikh carian
Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga Januari 2014.

Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan kajian yang membandingkan keberkesanan dan keselamatan vaksin pertusis sel seluruh dan aselular dalam kalangan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun.

Keputusan utama
Ulasan terkini ini melibatkan enam kajian dengan 46,283 peserta yang menilai keberkesanan dan 52 kajian dengan 136,541 peserta yang menilai keselamatan vaksin pertusis. Tempoh kajian adalah berbeza daripada 12 bulan hingga 27 bulan dan daripada 3 hari hingga 12 bulan masing-masingbagi kajian keberkesanan dan kajian keselamatan. Keberkesanan vaksin aselular dengan tiga atau lebih komponen adalah berbeza dari 84% hingga 85% dalam pencegahan batuk kokol biasa (yang dicirikan dengan serangan batuk yang teruk selama 21 hari berturut-turut atau lebih dengan bukti makmal untuk jangkitan B. pertussis atau mempunyai hubungan dengan isi rumah mengidap pertussis yang disahkan melalui kultur positive) dan dari 71% hingga 78% dalam mencegah penyakit pertusis ringan (yang dicirikan oleh batuk selama tujuh hari berturut-turut atau lebih dengan bukti makmal untuk jangkitan B. pertussis). Sebaliknya, keberkesanan vaksin dengan satu dan dua komponen adalah berbeza dari 59% hingga 78% dalam pencegahan terhadap batuk kokol biasa dan dari 41% hingga 58% terhadap penyakit pertusis ringan. Kebanyakan kesan sampingan sistemik dan setempat kurang ditemui dalam penggunan vaksin aselular berbanding dengan vaksin sel seluruh bagi dos pertama dan dos tambahan. Kami mendapati bahawa vaksin pertusis aselular dengan tiga atau lebih komponen adalah lebih berkesan daripada vaksin sel seluruh yang keberkesanan rendah, tetapi mungkin kurang berkesan daripada vaksin selseluruh keberkesanan tertinggi. Vaksin aselular mempunyai kurangkesan sampingan daripada vaksin selseluruh.

Implikasi untuk amalan
Implikasi penemuan dalam ulasan ini untuk amalan klinikal mungkin berbeza di antara negara-negara yang berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah. Di negara-negara yang berpendapatan tinggi, kematian akibat batuk kokol jarang berlaku dan penerimaan ibu bapa adalah penentu utama pengambilan imunisasi. Dalam keadaan sedemikian, profil kesan sampingan yang dipertingkatkan dalam vaksin aselular menyebelahi dalam penggunaan mereka, walaupun mereka mungkin mengorbankan sebahagian dari darjah keberkesanan berbanding dengan vaksin sel seluruh yang tebaik. Di negara berpendapatan rendah, di mana risiko pertusis lebih tinggi and kes-kes boleh menyebabkan kematian, keberkesanan vaksin hendaklah diberi keutamaan. Jika vaksin aselular telah ditunjukkan kurang berkesan daripada vaksin sel-seluruhkeberkesanan yang tinggi yang ia bertujuan untuk mengganti, kelebihan keselamatan vaksin aselular mungkin ditutupi oleh peningkatan kematian dan morbiditi disebabkan oleh kadar pertusis yang lebih tinggi secara ketara. Walau bagaimanapun, kebanyakan vaksin sel seluruh yang digunakan di negara-negara berpendapatan rendah tidak dikaji secukupnya untuk keberkesanan dan, oleh itu, ianya tidak diketahui di mana letaknya satu-satu produk pada spektrum luas keberkesanan vaksin sel seluruh.

Kualiti bukti
Semua kajian yang dimasukkan adalah secara rambang dan "double-blind", iaitu, peserta mempunyai peluang yang sama untuk menerima sama ada vaksin aselular atau sel seluruh dan kedua-dua penyelidik dan peserta tidak mengetahui tugasan rawatan. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian tidak melaporkan butiran teknik metodologi. Ini boleh menimbulkan beberapa ketidakpastian kepada kualiti bukti dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysai) afilza@usm.my

Tools
Information