Donepezil untuk orang dengan demensia akibat penyakit Alzheimer

Soalan ulasan

Apakah kesan (manfaat atau mudarat) donepzeil ke atas orang dengan demensia akibat penyakit Alzheimer?

Latar belakang

Penyakit Alzheimer adalah penyebab demensia yang paling lazim. Sambil penyakit tersebut berkembang, orang hilang keupayaan untuk mengingat, berkomunikasi, berfikir dengan jelas dan melakukan aktiviti kehidupan harian. Tingkah laku mereka juga mungkin berubah. Di dalam penyakit Alzheimer yang serius, orang hilang upaya untuk menjaga diri sendiri.

Rawatan yang paling lazim diguna untuk penyakit Alzheimer adalah ubatan yang dikenali sebagai perencat asetilkolinesterase. Donepezil adalah satu daripada ubat tersebut. Ia diambil dalam bentuk pil satu kali sehari.

Dalam penyakit Alzheimer, salah satu perubahan di dalam otak adalah pengurangan bilangan sel saraf yang digelar neuron kolinergik. Ia adalah sel-sel saraf yang memberi isyarat kepada sel lain menggunakan bahan kimia yang digelar asetilkolina. Perencat asetil kolinesterase, seperti donepezil, berfungsi dengan mencegah asetilkolina dipecahkan. Ini mampu memperbaiki simptom demensia. Walau bagaimanapun, asetilkolina juga didapati di tempat lain di dalam badan dan oleh itu ubat jenis ini mungkin membawa kesan yang tidak diingini.

Kaedah ulasan

Di dalam ulasan ini, kami mengkaji bukti tentang manfaat dan mudarat daripada kajian-kajian yang membandingkan donepezil, yang diambil sekurangnya 12 minggu, kepada plasebo (pil palsu), atau yang membandingkan pelbagai dos donepezil. Kajian-kajian tersebut perlu dwi-butaan dan dirawak, iaitu keputusan sama ada orang yang mengambil bahagian mendapat donepezil atau plasebo perlu dibuat secara rawak dan mereka atau penyelidik tidak mengetahui rawatan mana yang mereka terima semasa kajian dijalankan. Ini bertujuan agar perbandingan tidak bias, atau seadil mungkin. Kami mencari kajian-kajian sehingga Mei 2017. Kami menilai kualiti semua kajian yang disertakan. Apabila perlu, kami juga menganalisis keputusan kajian untuk mendapatkan keputusan keseluruhan.

Keputusan-keputusan utama

Kami memasukkan 30 kajian dengan 8257 peserta. Kebanyakan orang dalam kajian mempunyai demensia ringan atau sederhana akibat penyakit Alzheimer, tetapi di dalam sembilan kajian mereka mempunyai demensia sederhana atau serius. Hampir semua kajian berlangsung selama enam bulan atau kurang. Majoriti kajian diketahui dibiaya oleh pengilang donepezil.

Kami mendapati bahawa orang dengan penyakit Alzheimer yang mengambil 10mg donepezil sehari untuk enam bulan adalah berkeadaan lebih baik daripada pesakit yang mengambil plasebo, terhadap skala yang mengukur fungsi kognitif mereka (seperti pemikiran dan pengingatan), sebaik mana mereka menguruskan aktiviti harian, dan tanggapan keseluruhan oleh penyelidik terlatih. Kami tidak mendapati sebarang kesan terhadap tingkah laku atau kualiti hidup.

Pesakit yang mengambil donepezil adalah lebih cenderung daripada yang mengambil plasebo untuk melaporkan kesan sampingan dan untuk menarik diri daripada kajian. Kebanyakan kesan sampingan dijelaskan sebagai ringan. Loya, muntah dan cirit-birit adalah paling lazim.

Membandingkan 5mg donepezil sehari dengan 10mg/hari, orang yang mengambil 5mg mempunyai kurang kesan sampingan, tetapi kurang bagus dalam ujian fungsi kognisi. Dos yang lebih tinggi (23mg/hari) tidak memberi kelebihan dan dikaitkan dengan lebih banyak kesan sampingan.

Terdapat bukti bahawa penggunaan donepezil adalah tidak lebih mahal atau kurang mahal berbanding plasebo apabila jumlah kos penjagaan kesihatan diambil kira.

Kualiti bukti

Secara umum, kualiti bukti adalah sederhana. Faktor utama yang mengurangkan keyakinan kami adalah kebimbangan bahawa keputusan sesetengah kajian mungkin bias kerana cara perlaksanaannya. Kami tidak pasti keputusan-keputusan adalah terpakai untuk rawatan yang melebihi enam bulan.

Kesimpulan

Selepas enam bulan rawatan, terdapat manfaat yang agak besar bagi donepezil untuk diukur dalam kajian-kajian. Ia dikaitkan dengan kesan sampingan yang ringan, tetapi mungkin menyebabkan orang berhenti rawatan.

Kebolehan untuk menstabilkan prestasi kognitif atau keupayaan untuk mengekalkan aktiviti kehidupan harian mungkin penting secara klinikal. Dari segi jumlah kos penjagaan kesihatan keseluruhan, penggunaan donepezil dilihat sebagai kos neutral. Walau bagaimanapun, tiada kesan ke atas kualti hidup. Lebih banyak data masih diperlukan daripada kajian klinikal jangka panjang yang mengkaji ukuran progresi penyakit atau tempoh sehingga penjagaan sepenuh masa diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save