Adakah program berhenti merokok berasaskan kumpulan membantu orang berhenti merokok?

Latar belakang

Satu pendekatan untuk membantu orang yang sedang cuba berhenti merokok adalah menawarkan sokongan berasaskan kumpulan. Peserta bertemu secara regular, dengan fasilitator yang terlatih dalam kaunseling berhenti merokok. Komponen program adalah pelbagai. Persepsi kekuatan pendekatan ini adalah peserta saling memberi sokongan dan galakan. Hasil yang diminati adalah tidak merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan daripada permulaan program kumpulan tersebut.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenalpasti 66 kajian membandingkan program berasaskan kumpulan dengan sokongan jenis lain, atau membandingkan program berkumpulan yang berbeza. Pencarian terkini adalah pada Mei 2016.

Keputusan dan kualiti bukti

Di dalam 13 kajian (4395 peserta) orang dalam keadaan terkawal disediakan program bantu mandiri. Terdapat manfaat bagi pendekatan berasaskan kumpulan, dengan peluang berhenti merokok meningkat 50% hingga 130%. Ini bermakna jika lima daripada 100 orang boleh berhenti merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan menggunakan bahan bantu mandiri, lapan hingga 12 daripada 100 mungkin brejaya sekiranya ditawarkan sokongan berkumpulan. Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana, kerana kajian tidak melaporkan kaedah terperinci untuk menolak kemungkinan bias. Terdapat juga bukti manfaat sokongan berkumpulan berbanding nasihat dan sokongan ringkas daripada profesional penjagaan kesihatan (14 kajian, 7286 peserta), walaupun perbezaannya adalah lebih kecil dan lebih pelbagai. Kami menilai bukti ini berkualiti rendah, kerana variasi dan kemungkinan risiko bias. Terdapat juga bukti berkualiti rendah manfaat kajian-kajian yang tidak menyediakan kumpulan kawalan dengan sebarang bantuan untuk berhenti merokok (9 kajian, 1098 peserta). Enam kajian (980 peserta) membandingkan format berkumpulan dengan kaunselling bersemuka individu; tiada tanda sesuatu pendekatan lebih membantu daripada yang lain. Kajian yang berbaki membandingkan pelbagai program berkumpulan; biasanya tidak menunjukkan perbezaan, oleh itu tidak mungkin untuk menunjukkan komponen program berasaskan kumpulan yang paling membantu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save