Terapi perubatan prabedah sebelum pembedahan untuk fibroid uterus

Soalan ulasan

Kami menyiasat jika memberi ubat-ubatan sebelum pembedahan untuk fibroid uterus memperbaiki hasil.

Latar belakang

Fibroid terus adalah tumor otot licin uterus (rahim) yang boleh menyebabkan masalah kesuburan, perdarahan haid yang berat, kegagalan kehamilan berulang dan kesakitan pelvis. Fibroid biasanya dirawat secara pembedahan. Sesetengah ubat-ubatan, terutamanya analog hormon pelepas gonadotropin (GnRHa), telah digunakan untuk pengawalan sementara perdarahan dan mengurangkan saiz fibroid dan uterus sebelum pembedahan. Ubat-ubatan tersebut tidak sesuai untuk kegunaan jangka panjang kerana boleh menyebabkan kelesapan tulang. Ubat-ubatan lain, termasuk progestin, agonis dopamin, modulator reseptor progesteron terpilih (SPRM), antagonis reseptor estrogen dan modulator reseptor estrogen terpilih (SERMs), juga boleh memberi manfaat jangka pendek. Walau bagaimanapun, terapi tersebut adalah mahal.

Tarikh carian

Kami mencari bukti hingga Jun 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 38 kajian yang melibatkan 3623 wanita dengan fibroid yang menyebabkan gejala-gejala dan dijadualkan untuk pembedahan pembuangan fibroid. Pembedahan adalah sama ada histerektomi (pembuangan uterus) atau miomektomi atau reseksi (pembuangan fibroid dari dinding uterus). Kebanyakan wanita adalah anemik (mempunyai paras sel darah merah atau hemoglobin rendah).

Kajian-kajian membandingkan GnRHa dengan tiada rawatan atau rawatan palsu, GnRHa dengan rawatan perubatan lain, dan SPRM dengan rawatan palsu.

Sumber dana kajian

Empat belas kajian sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya dibiaya oleh syarikat farmaseutikal; tiga dibiaya oleh institusi atau hospital; sumber pembiayaan adalah tidak jelas untuk 21 kajian. Tidak dapat ditentukan sama ada sumber pembiayaan mempengaruhi keputusan.

Keputusan utama

GnRHa meningkatkan tahap hemoglobin sebelum pembedahan dan mengurangkan saiz uterus dan fibroid, berbanding dengan tiada rawatan atau plasebo. Kehilangan darah, keperluan transfusi darah, jangka masa pembedahan semasa histerektomi dan komplikasi selepas bedah dikurangkan. Walau bagaimanapun, wanita lebih cenderung mengalami hangat memerah semasa rawatan. Ubat SPRM (ulipristal acetate) mempunyai manfaat yang sama, terutamanya mengurangkan perdarahan. Penyelidikan masa depan patut memfokuskan keberkesanan kos dan membezakan kumpulan-kumpulan wanita dengan fibroid yang paling memanfaatkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan bagi kebanyakan hasil adalah rendah atau sangat rendah, bermakna terdapat ketakpastian besar mengenai penemuan. Pembatasan kualiti termasuk kekurangan laporan tentang kaedah perawakan dan penyembunyian peruntukan, kekurangan pembutaan (yang bermaksud pengetahuan tentang rawatan boleh mempengaruhi keputusan) dan variasi penemuan di antara kajian-kajian. Sesetengah penemuan adalah tidak tepat kerana hanya berdasarkan satu kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information