Inositol dalam bayi pramatang yang berisiko atau mempunyai sindrom distres respiratori

Soalan ulasan
Adakah pengambilan inositol tambahan mengurangkan hasil yang tidak diingini dalam bayi pramatang yang mempunyai atau tidak mempunyai sindrom distres respiratori (RDS)?

Latarbelakang
Inositol adalah nutrien yang penting untuk sel-sel, dengan kepekatan yang tinggi dalam susu badan (terutamanya dalam susu badan ibu-ibu yang bayinya telah dilahirkan awal). Penurunan tahap inositol dalam bayi yang mempunyai sindrom distres respiratori (RDS) boleh menjadi tanda bahawa penyakit mereka akan menjadi parah. Inositol dikira sebagai satu nutrien penting dalam pembesaran sebelum dan selepas kelahiran.

Tarikh carian
Carian relevan telah dijalankan pada 5 November 2018.

Ciri-ciri kajian
Enam penerbitan percubaan rawak terkawal telah memenuhi kriteria kemasukan kami, dengan sejumlah 1177 bayi yang didaftarkan. Kemas kini ini termasuk keputusan dari dua kajian berkualiti tinggi yang dijalankan dalam 760 bayi kurang dari 30 minggu umur paskahaid (PMA).

Keputusan utama
Dalam kemaskini ulasan kami yang lalu, dalam tahun 2015, kita menemui bukti awal yang menggalakkan mengenai inositol tambahan dalam bayi pramatang yang mempunyai RDS. Penambahan inositol merendahkan kadar kematian dan pendarahan dalam otak, dengan pengurangan penting dalam masalah-masalah mata juga. Inositol tidak mempunyai kesan-kesan buruk yang serius. Kami mencadangkan penyelidikan lanjutan diperlukan bagi pengesahan penemuan-penemuan awal ini. Penyelidikan tersebut kini telah mempunyai penerbitan dari dua kajian berkualiti tinggi yang melibatkan 760 bayi kurang daripada 30 minggu PMA, populasi yang paling berisiko. Semua keputusan menunjukkan tiada pengurangan dalam hasil yang tidak diingini yang berkaitan dengan tambahan inositol, termasuk kematian bayi, masalah mata, pendarahan dalam otak, jangkitan, masalah paru-paru yang kronik dan masalah sistem penghadaman. Yang demikian penambahan inositol dalam bayi pramatang adalah tidak disarankan. Bayi yang didaftarkan dalam kajian-kajian ini perlu diikuti hingga ke zaman kanak-kanak bagi penilaian mana-mana masalah perkembangan saraf.

Kualiti bukti
Mengikut GRADE (satu kaedah untuk menilai kualiti kajian yang menyokong setiap hasil), kualiti bukti adalah berbagai tetapi adalah sederhana hingga tinggi bagi hasil-hasil penting dalam analisis untuk dos inositol ulangan yang tinggi dalam bayi yang dilahirkan kurang dari 30 minggu umur paskahaid.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save