Vaksin bagi mencegah selsema dalam kalangan penghidap asma

Asma adalah satu keadaan yang memberi kesan kepada saluran pernafasan – iaitu salur kecil yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru - dan gejala-gejala biasanya adalah seperti batuk, berdehit, sesak nafas dan ketat dada. Gejala-gejala ini boleh terjadi sekali-sekala atau berterusan. Apabila seorang penghidap asma menyedut udara yang mempunyai pencetus asma (sesuatu yang merengsa salur pernafasan mereka), otot-otot sekitar dinding salur pernafasan akan mengetat dan saluran pernafasan menjadi sempit dan lapisan saluran tersebut mengalami keradangan dan mula membengkak. Bagi kebanyakan penghidap asma, selesema dan virus selesema mencetuskan gejala-gejala tersebut. Oleh itu, jangkitan virus selesema akan menerukkan lagi asma mereka dan suntikan selesema (vaksin influenza) boleh melindungi mereka daripada serangan sebahagian daripada virus selesema yang akan mereka alami setiap kali musim sejuk. Walau bagaimanapun, kesan suntikan selesema (vaksinasi) ini tidaklah semudah itu kerana ada juga kemungkinan yang suntikan itu sendiri boleh menyebabkan asma semakin teruk. Beberapa garis panduan semasa yang terdapat di UK mengesyorkan bahawa golongan yang berisiko tinggi seperti penghidap asma yang teruk harus mendapatkan suntikan selesema pada setiap kali musim sejuk (Pilihan NHS); walau bagaimanapun, buktinya amat terhad.

Dalam tinjauan ini, kami meneliti bukti daripada beberapa ujian rawak (RCTs) yang berkait dengan potensi manfaat dan mudarat kesemua jenis vaksinasi influenza dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak (berumur lebih dua tahun) penghidap asma.

Satu kajian menilai manfaat suntikan vaksin influenza nyahaktif dalam kalangan 696 kanak-kanak (vaksin virus nyahaktif adalah jenis yang digunakan sekarang di US dan UK; ianya tidak menyebabkan selesema). Tiada perbezaan signifikan dari segi bilangan orang yang mengalami serangan asma (gejala asma semakin teruk); walau bagaimanapun, terdapat skor gejala yang lebih baik (orang melaporkan gejala asma yang lebih rendah) dalam skala minggu dimana kanak-kanak yang diuji positif terhadap virus selesema, dalam kalangan mereka yang telah menerima suntikan (selesema) berbanding dengan mereka yang tidak menerimanya.

Dua kajian yang melibatkan 1526 orang dewasa dan 712 orang kanak-kanak yang diberi vaksin influenza nyahaktif, meneliti kesan berbahaya serta-merta yang berlaku selepas suntikan. Kajian-kajian ini menolak kemungkinan berlakunya lebih daripada empat daripada 100 orang akan diserang asma dalam dua minggu pertama setelah mendapat suntikan selesema mereka. Maklumat yang sedia ada tidak mencukupi untuk membandingkan kesan dari jenis vaksin yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information
Share/Save